Idris Ahmad |
Parti Islam SeMalaysia (PAS) menyanggah kenyataan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan yang mendakwa bahawa negara ini akan musnah jika tiada Biro Tata Negara (BTN). Pandang beliau jelas menafikan fakta sejarah bahawa masalah perkauman di negara ini sebenarnya menjadi begitu serius selepas BTN diwujudkan dimana kita melihat para peserta kalangan pelbagai kaum diajar tentang sejarah dan kepentingan kewujudan parti-parti perkauman seperti Umno, MCA dan MIC. Selain itu, peserta kalangan Melayu dan bumiputra dihasut supaya membenci kaum lain dengan lagu "Anak Kecil Main Api". Jiwa perkauman dibakar dalam dada mereka dan mereka di ingatkan agar sentiasa berwaspada kepada kaum-kaum lain. BTN juga mengasuh pesertanya agar membenci pemimpin-pemimpin yang tidak Pro-Umno dan BN. Pemimpin PAS dikatakan sesat, Pemimpin PKR dituduh sebagai pencetus huru hara, pemimpin DAP difitnah sebagai pelampau komunis dan ini semua hanya berlaku dalam program BTN. Peserta diasuh menjadi pembenci dan hanya taat pada Umno. BTN menyebabkan orang-orang Melayu dan Bumiputra tidak dapat berfikir secara rasional dan mereka hanya didedahkan fakta-fakta sejarah seperti peristiwa perjuangan menentang penjajah, Darurat, Memali, suasana politik pasca PRU 1999 dan 2008 yang kononnya negara ini sudah dikuasai kaum Cina dan India bila beberapa negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. Bagi peserta Cina India atau kaum-kaum lain mereka diberikan modul yang berbeza dan didoktrinkan agar patuh kepada Kerajaan yang memerintah dan diasuh supaya melihat parti-parti pembangkang sebagai musuh negara. Mereka diajar supaya berterima kasih kepada kerajaan yang memberikan mereka peluang belajar, bekerja dan mendapat kemudahan lain. Mereka diminta untuk menghormati ketuanan Melayu iaitu satu cerita dongeng yang sengaja direka oleh BTN bagi memastikan mereka sedar bahawa hanya orang Melayu sahaja yang layak memerintah negara ini. Pemikiran-pemikiran sesat ini menafikan segala hak dan kebebasan rakyat untuk berfikir dengan wajar. Bila mereka keluar dari kursus ini perasaan curiga dan berhati-hati dengan kaum lain begitu tebal. Hinggakan bila ada isu yang menyentuh perkataan atau status 'Melayu', walaupun hanya sekadar pertanyaan akan dibalas oleh pemimpin Umno dan cauvinis Melayu dengan hunusan Keris. Itulah sebabnya kesimbangan perpaduan rakyat sukar untuk dicapai dan mendesak Najib melaungkan slogan '1 Malaysia'. Sebaik sahaja beliau melaungkan slogan ini, satu negara menyaksikan bahawa Perdana Menteri Malaysia sudah mengakui bahawa negara ini memang ada masalah perkauman dan perpaduan maka beliau memikirkan idea itu walaupun hakikatnya beliau tidak tahu apa nak buat untuk perbaiki kerosakan yang telah lama dilakukan oleh BTN dan pelbagai agensi Kerajaan lain. Jika benar dakwaan Ketua Penerangan Umno bahawa negara ini makmur kerana BTN, bermakna beliau juga sudah menolak gagasan 1 Malaysia yang Najib bentangkan. Tidak ada sebab 1 Malaysia kena wujud jika rakyat sudah hidup aman, makmur dan harmoni. Walaubagaimana pun PAS, masih melihat 1 Malaysia yang dibanggakan Umno ini hanyalah satu retorik semata-mata kerana banyak tindakan yang dilakukan oleh pemimpin Umno selama ini bertentangan dengan hasratrakyat. Malah gimik 1 Malaysia difahami sebagai lakonan semata-mata sedangkan rakyat diluar sana masih mencari identiti dan jati diri mereka sebagai warganegara ini. Ust. Idris Ahmad Ketua Penerangan PAS |