Ikuti Blog ini

PAS Sokong Terengganu Tuntut Royalti Sepenuhnya

KUALA TERENGGANU – PAS menyokong penuh tindakan kerajaan negeri Terengganu menuntut sepenuhnya wang royalti petroleum supaya dikembalikan kepangkuan rakyat dan kerajaan.

http://buletinonline.net/images/stories/berita17/drsyed.JPGAhli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Burok) berkata, pihaknya berharap Kerajaan Persekutuan mengembalikan wang tersebut kepada Kerajaan Negeri secepat mungkin.

(Gambar - Dr Syed ketika bangun berucap dalam Sidang DUN semalam)

Beliau mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Terengganu Dato’ Ahmad Said yang telah memberikan jawapan secara terbuka berkenaan perkara tersebut dalam Sidang Dewan Undangan Negeri semalam.

Namun katanya, beliau agak terkejut dan kesal kerana ratusan juta ringgit wang tersebut telah dibelanjakan oleh kerajaan persekutuan.

“Penjelasan dibuat adalah sesuatu yang mengejutkan apabila wang dibelanjakan untuk pembangunan Persekutuan melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menggunakan wang royalti lebih RM700 juta, ini amat kita kesal,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Sidang semalam.

Semalam, Ahmad ketika menjawab soalan Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Rhu Rendang) telah mengumumkan pihaknya masih berunding dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha penyelesaian pembayaran balik royalti petroleum kepada Terengganu.

Katanya, Kerajaan Negeri menuntut sebanyak RM2.792 bilion, namun Kementerian Kewangan masih tidak berganjak dengan keputusan awal untuk membayar balik RM1.686 bilion sahaja.

Syed Azman yang juga Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat berharap Kerajaan Negeri dapat mempertahankan pendirian dalam memastikan tuntutan tersebut dipenuhi Pusat.

“Kita mengharapkan ia dapat disegerakan Kerajaan Pusat terutama Perdana Menteri bersesuaian janji beliau pada 13 Disember 2008 bahawa wang royalti Terengganu akan dikembalikan dan dimasukkan terus dalam Perbendaharaan Negara setiap tiga atau empat bulan sekali,” katanya.

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .