PERMATANG PAUH, 14 Dis: Keaktifan dua bekas anggota kumpulan rock tanahair penghujung 90 an Melissa dan Samudera menyampaikan dakwah menerusi lagu bertemakan Islam wajar dihargai kerana cara tersebut boleh membantu meningkatkan kefahaman Islam di kalangan golongan muda.
Bagi Vokalis Melissa yang terkenal dengan lagu 'Cinta Untuk Nabila', Mohd Rodzi Abdul Hamid dan bekas gitaris kumpulan Samudera, Syed Anuar Syed Yusof yang top dengan lagu 'Salam Sejahtera' kini boleh terus berbangga.
(Gambar: Mohd Rodzi kini berubah wajah)
Ini kerana, kalau dulunya mereka menjadi idola remaja yang tergilakan muzik slow rock, kini bertekad akan membawa lagu-lagu berunsur nasihat pula semata-mata ingin melihat perubahan pada masyarakat.
Ini kerana diri mereka pernah disanjung setinggi langit dan tahu betapa agungnya di saat itu namun kini semuanya telah berubah kerana ingin mencari kelainan setelah menyedari kekosongan pada diri sendiri.
Kegelisahan jiwa terutamanya, menjadi kusut walaupun di saat-saat kegemilangan dan hanya dapat menemui titik ketenangan bila berhasrat meninggalkan terus lapangan yang diminati sejak kecil.
Maklumlah kata mereka, zaman itu pergilah ke mana sahaja samada pesta, karnival, konsert dan sebagainya pasti mendapat pujian, tambahan lagi di kelilingi peminat wanita.
"Dulu saya pernah di atas mendapat sanjungan ramai tapi kini saya terus berbangga walaupun tidak lagi sehebat dulu. Sekarang ini terdapat ketenangan yang tidak ada pada zaman muda," ujarnya sebelum mendendangkan lagi top Melissa 'Cinta Untuk Nabila'.
"Saya pula walaupun tidak menjadi penyanyi utama Samudera dan hanya pemain gitar utama turut terasa bahang kemasyhuran apabila gambar sering terpampang di dada akhbar. Namun itu hanya sementara dan sekarang jiwa saya benar-benar tenang, " jelasnya yang kini berhasrat mahu muncul dengan Samudera semula tetapi berlainan imej dan penyampaian jika usahanya perbincangan dengan syarikat rakaman membuahkan hasil.
(Gambar: Syed Anwar di malam kesenian Islam)
Penonton walaupun tidak seramai malam konsert rock tetapi kehadiran mereka benar-benar membuktikan kesungguhan untuk memberi semangat baru kepada dua bekas anggota rock berkenaan setelah kembali dengan imej baru di mana Radzi nampak macam ala kumpulan Al-Arqam manakala Syed Anuar macam ala Jemaah Tabligh.
Semalam mereka mengadakan persembahan sempena Malam Kesenian dan Kebudayaan Islam di Dataran Pusat Bimbingan Islam Darul Huda, Bandar Perda, Bukit Mertajam.
Selain menjemput artis yang terkenal dengan irama rock, kumpulan Nasyid sebaris dengan Raihan, Hijjaz dan Rabbani iaitu Kumpulan Rusdan turut mengadakan persembahan pertama setelah tidak bersama 11 tahun lalu.
Turut disajikan dalam program tersebut ialah bacaan sajak, bercerita dalam Bahasa Mandarin dan pantomen bertajuk 'Tidak hargai jasa bapa'.