Ikuti Blog ini

SPRM dan Polis Takut Rahsia Terdedah?

Susulan laporan polis yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pakar patalogi Thailand, Pornthip Rojanasunand dan akhbar Suara Keadilan, TVSelangor dipetik.

Dua peguam yang juga wakil rakyat membidas SPRM yang mahukan tindakan diambil terhadap akhbar milik Parti Keadilan Rakyat dan pakar patologi itu berhubung kematian Teoh Beng Hock.

Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusuff berkata polis bertanggungjawab untuk merungkai punca kematian itu dan bukan menyekat kebebasan media melapor kepada masyarakat.

“Saya nampak itu lebih kepada satu tindakan sekatan terhadap kebebasan bersuara.

Isunya di sini isu kebebasan bersuara, saya rasa dalam hal ini betul kita perlu menyantuni siasatan tapi dalam masa yang sama tidak ada satu proses pun yang boleh menghadkan perbuatan bersuara terutama di sini kita melihat dari segi media” ujar Yusmadi.

Sambil menyifatkan inkues Beng Hock sebagai inkues awam dan pemberita boleh melaporkan apa jua maklumat yang diperolehi, Yusmadi menambah jika SPRM membuat laporan tersebut kerana mahu menjaga kredibilitinya, ia terlambat.

“Yang sepatutnya tugas itu diambil oleh pihak polis. Saya melihat sepatutnya pihak polis perlu bertangunggjawab iaitu dalam merungkaikan isu tersebut bukan dengan sehingga menunggu pihak media terpaksa berekrja lebih kuat daripada pihak polis dalam menangani masalah jenayah di Malaysia”.

Peguam mewakili keluarga mendiang, Gobind Singh Deo berkata tindakan SPRM memfailkan laporan polis terhadap Dr Pornthip adalah tidak munasabah kerana Suara Keadilan memetik sumber rahsia dan bukan pakar forensik itu.

Sementara itu Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membidas tindakan SRPM membuat laporan polis terhadap Dr Pornthip sebagai cubaan untuk menutup kebenaran mengenai kematian Teoh Beng Hock.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang melihat tindakan SPRM itu sebagai cubaan memberikan tekanan terhadap pakar patalogi berkenaan yang hadir pada bedah siasat kedua ke atas mendiang pada November lalu.

Guan Eng hairan bagaimana SPRM nekad membuat laporan polis terhadap seorang pakar patologi yang hanya menjalankan tugasnya.

Guan Eng sendiri menjadi sasaran pihak berkuasa apabila beliau merujuk kepada keterangan Dr Pornthip di mahkamah yang mendakwa ada kemungkinan hingga 80 peratus Beng Hock mati dibunuh.


"Saya terkejut apabila mendapat tahu SPRM membuat laporan polis terhadap Dr Pornthip yang hanya berada di sini untuk menjalankan tugas bagi mencari kebenaran," kata Guan Eng.

Semalam dua pegawai SPRM membuat laporan di ibu pejabat polis Shah Alam terhadap Dr Porntip kerana kononnya beliau membocorkan maklumat hasil siasatan bedah siasat kali kedua Beng Hock.

Laporan polis juga dibuat terhadap akhbar Suara Keadilan yang memetik sumber-sumber sebagai berkata Pornthip menjumpai bukti forensik mencukupi untuk menyokong teori bahawa Beng Hock dibunuh.

Sebelum ini Dr Pornthip menyatakan ada kemungkinan hingga 80 peratus mendiang mangsa jenayah malah didera sebelum mati.

Kenyataannya pada inkues kematian Beng Hock itu membawa kepada mayat Beng Hock digali semula bagi membolehkan satu lagi bedah siasat diadakan dengan dihadiri Porthip dan pakar bedah siasat lantikan SPRM.

Bedah siasat kedua itu diadakan pada 22 November dan Porthip dikatakan telah menyerah hasil laporannya kepada pihak berkenaan. Difahamkan, Pornthip mengguna pakai beberapa teknik dan proses baru yang meyakinkan beliau sepenuhnya bahawa Beng Hock mati dibunuh.

Beng Hock, setiausaha politik kepada EXCO Selangor, Ean Yong Hian Wah dijumpai mati Julai lalu di perkarangan pejabat SPRM Selangor setelah disoal siasat sepanjang malam hingga subuh.


Peguam: Pornthip mungkin tarik diri
Rahmah Ghazali, Malaysiakini

Peguam yang terbabit dengan inkues kematian Teoh Beng Hock, bimbang pakar patologi Thai, Dr Pornthip Rojanasunand mungkin menarik dari dari kes tersebut ekoran laporan polis yang dibuat terhadapnya semalam.

Bercakap kepada pemberita di Medan Damansara, peguam yang mewakili kerajaan Selangor, Malik Imtiaz Sawar juga menyifatkan laporan polis oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) semalam sebagai tidak mempunyai asas sewajarnya.

Semalam, dua pegawai SPRM membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Shah Alam terhadap akhbar tabloid "Suara Keadilan" dan Dr Pornthip berhubung satu artikel yang mendakwa kononnya pakar patalogi itu telah mengesahkan punca kematian setiausaha politik, Teoh Beng Hock, yang telah disoal siasat oleh SPRM, adalah dibunuh.

Bagaimanapun, menurut Malik, Pornthip telah menafikan dakwaan bahawa beliau telah membocorkan laporan bedah siasat kedua.

Malik berkata, Suara Keadilan hanya menyebut dikatakan Dr Pornthip akan mengesahkan pendirian awalnya di inkues tersebut.

Akhbar tersebut, katanya, tidak sama sekali menyebut bahawa Pornthip mendedahkan sebarang maklamut dan malah ia menyatakan bahawa sumber maklumat yang ditulis itu bukanlah Dr Pornthip.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .