Ikuti Blog ini

Pulih imej polis, Pakatan saran Musa berundur

KUALA LUMPUR, 30 April: Pemimpin Pakatan Rakyat hari ini menggesa Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berundur dari jawatan itu bagi memulihkan imej Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang semakin tercalar ekoran insiden seorang remaja yang mati ditembak anggota mereka Isnin lalu.

Mereka yang terdiri daripada Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, Adun Sri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen Segambut Li Lip Eng dan beberapa penyokong siang tadi menghantar satu memorandum ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menuntut Musa berbuat demikian.

Memorandum tersebut diserahkan kepada Keptan Komander Supretanden Ali bin Ahmad.

Selain memorandum, satu aduan rasmi kepada Pengarah Jabatan Tatatertib PDRM, Datuk Abdul Razak juga dibuat.

Nurul Izzah ketika bercakap kepada pemberita berkata tindakan mendesak Musa itu bukan bermakna mahu bermusuhan dengan polis tetapi demi membantu mereka memulihkan imej serta profesionalisme PDRM

Bagi Nik Nazmi pula, selain perletakan jawatan oleh Musa, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga perlu mempertimbangkan semula cadangan sebelum ini bagi menubuhkan Suruhanjaya Bebas dan Salah Laku Polis (IPCMC).

IPCMC jelasnya dilihat mampu menjadi agen semak dan imbang kepada penyalahgunaan kuasa polis dan memberi keadilan kepada mangsa.

Li Lip Eng pula ketika mengulas kenyataan Musa yang memberi kata dua untuk menarik semula anggota dari mengawal keselamatan jalan raya, beliau berkata kenyataan Musa berbaur ugutan dan wajar untuk Musa meletakkan jawatan.

"Dia sepatutnya terbuka dan bertanggungjawab (apabila) rakyat memprotes kenyataannya, (malah) harus bersedia berundur," katanya.

Isnin lalu, seorang remaja 15 tahun, Aminulrasyid Amzah mati kena tembak oleh pihak polis ketika cuba melarikan diri dari sekatan polis kira-kira jam 2 pagi.-Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .