KUALA TERENGGANU – Pesuruhjaya  PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Harun Taib berkata kemenangan pembangkang di  kerusi Parlimen Sibu, Sarawak dalam pilihan raya kecil, Ahad lalu  sebagai tanda permulaan kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN).     
Menurutnya, kemenangan mengejutkan itu dianggap sebagai  perubahan mendadak rakyat terhadap politik negara dan ia merupakan  isyarat penolakan terhadap BN.
Beliau juga tidak menolak  pemimpin BN berkemungkinan ‘tidak senang duduk’ dengan kemenangan di  Sibu selepas berbangga dengan kemenangan sementara di Hulu Selangor.
“Sekarang ini, angin sudah mula bertiup ke Timur Malaysia untuk  menyatakan mereka tidak suka kepada BN.
“Gelombang itu sebelum  ini berlaku di Semenanjung, tetapi orang Sarawak sudah mula memberi  ke-yakinan kepada Pakatan Rakyat (PR),” katanya kepada Sinar Harian  ketika dihubungi, semalam.
Sehubungan itu, beliau yakin bahawa  kemenangan pembangkang di Sibu boleh dijadikan penanda aras terhadap  kebangkitan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
 Mengulas lanjut, beliau berkata, rakyat dilihat sudah bersedia menolak  BN, sekali gus memberi tempat kepada PR dalam menguasai politik negara.
“Dalam pilihan raya kecil di Hulu Selangor baru-baru ini, tidak  ramai yang turun, tidak cukup tenaga tetapi di Sibu sama-sama turun.  Insya-Allah PR dapat sokongan daripada rakyat,” katanya.
Dalam  pilihan raya tersebut, calon DAP, Wong Ho Leng menewaskan calon Barisan  Nasional (BN), Robert Lau Hui Yew dengan majoriti 398 undi.
 Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Ho Leng yang juga Ahli Dewan  Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek mendapat 18,845 manakala calon Bebas,  Narawi Haron mendapat 232 undi dan 395 undi rosak. -BO
 

 
 
 
 
 
 
 
 Catatan
Catatan
 
