Ikuti Blog ini

Jangan amalkan Islam pada ‘satu-satu majlis’ sahaja

SUNGAI PETANI – “Usaha meninggikan syiar Islam dan menarik perhatian ke arah mendekati ajaran Al-Quran dan beramal dengannya hendaklah sentiasa berterusan dan tidak tertumpu pada ‘satu-satu majlis’ sahaja,” kata Menteri Besar YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.

Tambahnya, sebagai umat Islam, usaha memartabatkan Al-Quran menjadi tanggungjawab semua malah dengan membacanya sahaja sudah dikira satu ibadah yang tidak terhingga nilainya di sisi Allah.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Kedah di Masjid Sultan Abdul Halim, di sini.

“Sekarang ini manusia tidak menghiraukan ganjaran yang Allah janjikan apabila beramal dengan kitab-kitab Allah, sebaliknya keseronokan dunia telah membudayakan hidup mereka,” ujarnya.

Oleh itu beliau menyeru seluruh umat Islam supaya mengamalkan ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran agar terhindar daripada keruntuhan institusi sosial yang berlarutan dengan kehancuran umat Islam itu sendiri.

Katanya, Al-Quran adalah mukjizat Allah paling agung yang dikurniakan kepada makhluk di muka bumi sebagai cahaya penyuluh jalan kebenaran. Beliau menyeru supaya umat Islam berusaha kembali menghayati Al-Quran dan menjadikan ajaran Al-Quran sebagai budaya dalam hidup sehari-hari

“Di dalam Al-Quran terkandung nilai-nilai murni yang membentuk insan mulia di sisi Allah iaitu saling hormat menghormati dan peringatan ganjaran baik bagi yang melakukan kebaikan di dunia.

“Penganjuran tilawah adalah satu pendekatan yang mengajak seluruh umat supaya menghayati dan mengamalkan ajaran yang terkandung di dalamnya,” katanya.

Seramai 16 qari dan qariah akan perdengarkan bacaan pada program yang berlangsung dari 17 hingga 19 Mei ini bagi memilih wakil ke tilawah peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Sabah pada Jun ini.

Turut hadir pada majlis ini Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah YB Dato’ Dr Haji Abdul Isa Ismail, Ahli-Ahli Exco Kerajaan Negeri, Ketua Penolong Pengarah (Dakwah) merangkap Pengerusi Jemaah Hakim Majlis Tilawah Al-Quran Negeri Kedah Tuan Syeikh Abdullah Awang Sa dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Kedah Dato’ Khairudin Zain.

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .