Ikuti Blog ini

Kemenangan Sibu Mampu Runtuhkan Ilusi Simpanan Tetap



KUALA LUMPUR - Kemenangan Pakatan Rakyat di Sibu akan membuktikan betapa tingginya harapan rakyat untuk membuat satu perubahan, terutamanya dikalangan masyarakat Bumiputera di Sibu kata penulis blog, Kim Quek dalam komentar terbarunya.

Tambah beliau, ini juga akan menguatkan lagi kehadiran Pakatan Rakyat di kubu kuat Barisan Nasional yang selama ini melabel Sarawak sebagai 'simpanan tetap'.

Kim Quek mengulas jikalau rakyat Sibu masih tidak pasti parti yang perlu diundi, maka mereka perlu menanya diri satu soalan, parti mana yang mereka rasakan akan menjaga dan mempertahankan hak dan kehendak rakyat Sibu jika diberi peluang membentuk kerajaan pusat dan kerajaan negeri Sarawak?

Sebabnya ialah kerana terdapat pelbagai masalah di Sibu yang hanya boleh diselesaikan dengan campurtangan kerajaan pusat.

Antaranya ialah banjir berterusan sepanjang tahun, kekurangan pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar, pencabulan hak Tanah Adat, masalah pembaharuan geran tanah pegangan sementara, kadar kemiskinan yang tinggi dan krisis ekonomi berpanjangan yang menyebabkan penghijrahan besar-besaran oleh belia dari Sibu.

Kata beliau lagi, masalah sebegini tidak mungkin dapat diselesaikan hanya dengan penglibatan kerajaan negeri sahaja kerana dana yang besar diperlukan dan hanya kerajaan pusat yang berfikiran berlandaskan rakyat akan meluluskan dana untuk rakyat Sibu.

Tambah beliau lagi, krisis ekonomi yang kini membebankan rakyat berpunca daripada kepincangan pentadbiran 'authoritarian' kerajaan pusat yang dipenuhi dengan gejala rasuah.

"Malaysia kini bukan lagi di dalam senarai pelabur asing sebagai negara berpotensi dan kekurangan pelabur asing telah menyebabkan pertumbuhan ekonomi terhenti. Jika ini berterusan, Malaysia tak mungkin boleh bebas daripada 'Perangkap Golongan Pertengahan'," tulisnya yang terkenal sebagai penulis kritikal.

Dalam isu ini, Kim Quek menyalahkan kerajaan Umno-BN yang tidak mampu menghentikan gejala rasuah sehingga kerajaan mengalami defisit lebih 13 tahun berturut-turut, sedangkan pendapatan dari petroleum dianggarkan 40 peratus daripada jumlah pendapatan negara.

"Dengan fakta sebegini, bagaimana BN boleh memperbodohkan rakyat Sibu dengan janji-janji hingga RM1 bilion untuk skim pencegahan banjir seperti yang dikatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin?" soalnya lagi.

Beliau menambah, kemenangan Pakatan Rakyat pada pilihan raya lalu membuktikan rakyat Malaysia secara umumnya sudah bersedia untuk perubahan dan beliau berharap rakyat Sibu akan bangkit menentang ketidakadilan dan mengambil langkah pertama membentuk Malaysia baru dengan mengundi sebaik-baiknya.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .