KUALA LUMPUR, 5 Mei: Naib Presiden PAS,  Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kempen pilihan raya kecil Sibu bermula  dengan pembohongan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  mendakwa bahawa Presiden Amerika Syarikat Barack Obama yang mahu bertemu  dengan beliau, dan bukan sebaliknya.
"Kenyataan Najib  bertentangan dengan dengan jawapan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri  Datuk Seri) Nazri Aziz di Dewan Rakyat yang memuji perkhidmatan dan lobi  firma Yahudi Zionis, APCO Worldwide yang menggasak wang rakyat negara  ini hampir RM77 juta sehingga Najib mendapat peluang yang  diidam-idamkannya untuk mengadap Obama.
"Walaupun Nazri berusaha  memperbaiki kenyataannya yang memuji jasa APCO yang membolehkan Najib  mencapai idamannya untuk bertemu Obama, tetapi di kalangan pemimpin  Umno, kenyataan pertamalah yang biasanya benar.
"Kenyataan  susulan untuk memperbaiki kenyataan pertama hanyalah untuk mengawal  kerosakan (damage control) akibat kenyataan pertama," kata Ahli Parlimen  Pokok Sena itu.
Bagi Mahfuz, jika benar dakwaan kononnya Obama  yang mahu berjumpa Najib, "ia tidak ubah seperti guru besar memanggil  pelajar bermasalah untuk berjumpanya".
"Kalau pelajar bermasalah  dipanggil berjumpa guru besar, biasanya dia dipanggil untuk dirotan.
"Kalau  pemimpin negara angkuh seperti Amerika Syarikat memanggil pemimpin  negara kecil mengadapnya, biasanya pemimpin negara kecil itu dileteri  dan diberi amaran mengenai pelbagai perkara antaranya mengenai perbuatan  memperdagangkan manusia (human trafficking)," katanya.
Beliau  juga kesal dengan dakwaan Najib yang dianggapnya cuba  memperbodoh-bodohkan rakyat Malaysia.
"Perdana Menteri juga cuba  menggambarkan kononnya Obama mahu berjumpa dengannya supaya beliau  memberi penjelasan mengenai Model Ekonomi Baru (MEB).
"Najib  jangan ingat rakyat negara ini bodoh sangat untuk mempercayai dakwaannya  itu. Kalaupun Obama mahu bersikap diplomatik atau mengambil hati  tetamu, adakah sehingga ke peringkat meminta Perdana Menteri menjelaskan  mengenai MEB?
"Kerja mencari maklumat mengenai MEB hanya kerja  pegawai Amerika yang berpangkat rendah sahaja," kata Mahfuz.
Ketika  berkempen di di majlis pemimpin bersama rakyat di SK Bandaran Sibu No 3  di Kampung Bandong, Sibu baru-baru ini, Najib mendakwa bukan beliau  yang mahu berjumpa Obama tetapi Obamalah yang mahu berjumpa beliau.
"Hakikatnya,  Presiden Obama mahu berjumpa saya. Dalam pertemuan kami, beliau meminta  saya menjelaskan mengenai Model Ekonomi Baru negara," dakwa beliau. -Hrkh
 

 
 
 
 
 
 
 
 Catatan
Catatan
 
