Ikuti Blog ini

Awasi strategi Chua Soi Lek

Selena Tay

Pada 29hb Julai 2010, Chua Soi Lek telah memulakan rancangan strateginya untuk meraih undi Cina dalam PRU-13 yang akan datang dengan menyeru semua Anggota Parlimen MCA dan ADUN-ADUN MCA supaya memulakan blog dan Twitter untuk membongkar kesalahan yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat (PR) dengan memberi maklumat yang benar di alam cyber.

Sejak tarikh 29hb Julai itu, Chua telah mengeluarkan beberapa kenyataan. Diantaranya ialah:-

1) Jika PR menang PRU-13, yang akan menjadi Perdana Menteri ialah orang PAS, bukannya orang dari PKR atau DAP;

2) Negara-negara Islam tidak progresif; dan

3) DAP mesti menyoal Tuan Guru Nik Aziz mengenai matawang dirham dan dinar.

Dalam Kongres Ekonomi Cina yang baru berlangsung minggu yang lepas, Chua telah bertungkus-lumus memuji pentadbiran Najib dan menyeru orang Cina untuk menyokong Barisan Nasional (BN) sebab masa depan orang Cina terletak di tangan BN.

Pada 15hb Ogos 2010, Chua telah memberi taklimat kepada ahli-ahli MCA terutama Ssayap Wanita dan Pemuda supaya bekerja keras untuk mendaftarkan ahli baru dan pengundi baru terutamanya dari golongan muda.

Penulis yang tinggal di Kepong dan biasa pergi ke pasar pagi pada hari Ahad sentiasa berpeluang berbual-bual dan bersembang dengan para peniaga di pasar di situ dan para peniaga ini berpendapat Chua hari-hari mesti mengatakan sesuatu supaya akan nampak mukanya di kaca TV ataupun dalam suratkhabar Cina.

Kata seorang penjual sayur, "ekonomi negara sudah jatuh, cari makan pun susah, tak usahlah Cina ini pokpek pokpek sana sini hari-hari, dah muaklah tengok muka dia."

Penulis berpendapat bahawa Chua sedang berhempas-pulas mahu menjadi 'The Last Great Action Hero' yang memainkan peranan yang penuh dramatis untuk menarik perhatian kaum Cina dan ingin memberi amaran kepada Pakatan Rakyat supaya jangan pandang rendah terhadap strategi Chua.

Walaupun terpalit dengan skandal seks, beliau masih berjaya memenangi pilihanraya MCA dan menjadi pemimpin MCA. Beliau adalah seorang pakar strategi yang amat licik dan pintar dan oleh itu beliau telah berjaya menghidupkan kerjaya politiknya yang pada suatu masa hampir terkubur.

Strategi yang digunakan oleh Chua untuk menyerang PR ialah:

a) Strategi Semut Dalam Dubur - tujuan strategi ini ialah untuk menggangu fikiran para pemimpin Pakatan Rakyat. Dalam bahasa Inggeris ia dihuraikan sebagai 'to unsettle and irritate the enemy'.

b) Strategi Gadis Senyum Manis Menyembunyikan Pisau - tujuan strategi ini ialah untuk memberi gambaran bahawa penggunanya lemah dan tidak merbahaya padahal ia adalah sebaliknya. (Strategi Smiling Girl Hides A Dagger adalah strategi yang sering digunakan dalam zaman dinasti Cina dalam peperangan lebih dari 1,600 tahun.)

Penulis berharap amaran ini akan diberi perhatian sepenuhnya oleh pakar-pakar strategi Pakatan Rakyat. Ingat! Jangan leka, terpedaya nanti!

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .