Ikuti Blog ini

Hukum Hudud; Pemuda PAS Sedia Bertemu Siapa Sahaja

http://buletinonline.net/images/stories/berita31/hududqisas.jpgDewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) malah seluruh warga pemuda Islam menyokong penuh kenyataan YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar mengambil Islam sebagai jalan penyelesaian terhadap kemelut gejala sosial yang kian membarah mutaakhir ini. Barah sosial atau penyakit masyarakat hari ini adalah berpunca daripada maksiat dan mungkar yang berleluasa malah perkara ini telah diketahui umum .

Malangnya masih ramai yang masih berdegil untuk bertahan di bawah satu sistem yang gagal sejak lebih 50 tahun yang lalu. Ternyata sistem yang dicipta oleh manusia hari ini mempunyai 1001 kelemahan dan terbukti tidak mempunyai keupayaan tinggi mengatasi masaalah sosial , jenayah malah juga penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang semakin ketara .

Lebih 50 tahun rakyat bersabar menghadapi musibah dan becana besar menimpa negara dan rakyat . Kini keadaan tidak mungkin lagi boleh dibiarkan walau untuk tempoh yang dekat . Peradaban dan tamadun sedang runtuh bersama lunturnya nilai budi dan maruah ummah.

Mursyidul Am PAS, Tuan guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan supaya perlaksanaan syariat Islam dan hukuman hudud dijalankan sementara pelbagai pihak mula mencari formula bagaimana mahu mengatasi kemelut sosial yang parah ini . YB Karpal Singh sendiri mencadangkan hukuman yang lebih berat dijatuhkan ke atas penjenayah yang saya kira jauh lebih berat dari hukuman hudud atau syariat Islam yang ditolak olehnya.

DPPP kira inilah masa yang tepat untuk Islam dan syariatnya dilaksanakan . Kenapa mahu menolak, sedang masyarakat dan negara belum menyaksikan bagaimana syariat Islam beroperasi membetulkan segala sistem nilai dan maruah bangsa yang tercalar teruk pada hari ini ? Sangat tidak adil jika Islam ditolak sementah itu sedang peluang ia membuktikan kemampuan dan keupayaan menyelesaikan barah sosial negara belum diberikan.

DPPP sedia bertemu dengan YB Karpal Singh dan YB Lim Kit Siang atau mana-mana pihak bagi menjelaskan bagaimana syariat Islam dan hukum hudud ini boleh berperanan memulihkan satu peradaban yang kian runtuh pada hari ini. Bahkan DPPP bersedia untuk bertemu dengan siapa jua yang memerlukan penjelasan mengenai perlaksanaan syariat Islam ini termasuk pihak pemerintah.

Sementara undang - undang atau peraturan yang ada pada hari ini gagal merawat dan mengubati penyakit masyarakat yang melanda teruk hari ini kenapa tidak kita menerima perlaksanaan syariat Islam. menerima perlaksanaan syariat Islam bukan bermakna non muslim dipaksa memeluk ajaran Islam. Lojiknya selama ini kita boleh menerima dasar dan peraturan yang digubal oleh British sedang kita semua bukanlah orang British , maka apa masaalahnya jika negara yang majoriti penduduknya adalah muslim melaksanakan syariat Islam. Bukankah sistem yang sedia ada itu telah gagal melahirkan sebuah masyarakat yang soleh dan sejahtera ?

Realiti ini diakui oleh semua sehingga kini YB Karpal Singh juga mencadangkan hukuman yang lebih berat. Justeru itu, langkah bijak ialah menukar sistem kepada yang lebih baik , adil dan berkesan. Perlu diingat bahawa keberkesanan sesuatu jalan penyelesaian bukan hanya dilihat kepada berat dan kerasnya hukuman tersebut tetapi dilihat kepada sejauh mana ia mampu menimbulkan keinsafan dan kesedaran dikalangan masyarakat khasnya penjenayah terbabit.

Maka syariat Islam bukanlah sekadar hukuman semata - mata tetapi penyelesaian bestari dan hikmah. Di sinilah DPPP melihat Islam perlu diberi peluang justeru Islam mempunyai pakej penyelesaian yang cukup baik. Bermula dari :-

* Pendidikan atau pentarbiyahan
* Pembinaan atau pembentukan minda dan peribadi
* Pencegahan atau kawalan
* Pemantauan
* Alternatif
* Hukuman setimpal

Islam tidak berhenti di atas hukuman semata-mata. Malah hukuman Islam sebahagiannya jauh lebih ringan berbanding hukuman ciptaan manusia yang ada pada hari ini. Hukuman berat dan keras tidak menjamin sesuatu hukuman itu berkesan seperti hukuman mandatori gantung sampai mati ke atas pengedar dadah , biarpun hukuman itu keras dan berat namun realitinya pengedaran dadah semakin berleluasa. Jelas ianya tidak berkesan. Lantaran hukuman itu tidak mempunyai pakej sebagaimana syariat Islam.

DPPP percaya kebaikan sistem syariat Islam sebenarnya disedari oleh semua yang membaca sejarah kerana ia suatu yang praktis bukan teori atau khayalan. Jika tidak masakan YB Lim Guan Eng mahu menjadikan pentadbirannya mencontohi Khalifah Umar bin Abdul Aziz sedang beliau sendiri tidak pernah menemui khalifah itu. Khalifah Umar bin Abdul Aziz melaksanakan syariat Islam justeru itulah ia mampu menonjolkan keadilan, ketelusan dan kesaksamaan dalam pentadbiran dan pemerintahannya.

Kehebatan Khalifah Umar bin Abdul Aziz dan kecemerlangan pentadbirannya adalah kerana beliau komited dengan perlaksanaan syariat Islam. Sekiranya pemimpin DAP itu dalam satu masa mahu mencontohi Khalifah Umar bin Abdul Aziz dan dalam satu masa lagi sebahagian pemimpin DAP menolak perlaksanaan syariat Islam yang dilaksanakan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz itu sebagai satu penyelesaian kepada barah sosial hari ini, maka DPPP mengira ia satu kekeliruan yang besar malah dilihat tidak wajar dan ia kelihatan seperti retorik atau hipokrit.

DPPP berharap semua pihak tidak prejudis terhadap perlaksanaan syariat Islam termasuklah UMNO dan BN sendiri selaku pemerintah pada hari ini. Islamlah satu-satu penyelesaian yang terbaik untuk konflik dan kemelut yang dihadapi oleh manusia kerana syariat Islam itu datang terus dari Allah, Tuhan yang mencipta manusia.

Ustaz Nasruddin Hassan At Tantawi
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Pusat

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .