Ikuti Blog ini

Apa Nak Diharapkan Pada Ismail Omar?

Ismail Didesak Pastikan Anggota Polis Hormati Hak Asasi Rakyat

Badan hak asasi manusia, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menyeru bakal Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar supaya melaksanakan penambahbaikan dan reformasi segera terhadap Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang kini mempunyai imej buruk di mata masyarakat umum, terutamanya di dalam isu menghormati hak asasi manusia.

Suaram berkata dalam satu kenyataan media semalam, Ismail perlu memastikan kesemua cadangan Suruhanjaya DiRaja Mengenai Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM khususnya dalam hal berkaitan penindasan hak asasi manusia oleh anggota polis dilaksanakan dengan segera.

"Bakal KPN Ismail Omar perlu memandang berat ketidakpatuhan kepada undang-undang dan piawaian hak asasi manusia antarabangsa di kalangan anggota polis. Ini merupakan perkara serius yang dinyatakan dalam laporan Suruhanjaya DiRaja pada tahun 2005 dan juga berdasarkan pemantauan Suaram.

"Di bawah pimpinan KPN Musa Hassan selama empat tahun (16 September 2006 sehingga kini), PDRM mempunyai rekod dan reputasi yang teruk di dalam isu hak asasi manusia," kata Penyelaras Suaram, Yap Heng Lung.

Suaram berkata statistik rasmi kerajaan menunjukkan bahawa seramai 183 orang telah mati akibat ditembak polis dari tahun 2007 hingga 2009.

Antara kes yang paling serius adalah kejadian menembak mati remaja berusia 14 tahun Aminulrasyid Amzah dan pemuda 18 tahun, Mohammad Afham Arin oleh polis.

"Suaram juga menyeru bakal KPN supaya mendedahkan kepada umum Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO) dengan segera selepas menjawat jawatan KPN agar anggota polis akan lebih bertanggungjawab apabila menggunakan senjata api," ujar Heng Lung.

Tambah Suaram, terdapat 153 kes kematian dalam tahanan polis antara tahun 1999 hingga 2008.

Pada tahun 2009, seramai tujuh orang telah mati di dalam tahanan polis antara yang menjadi perhatian umum kematian A Kugan, R Gunasegaran dan Mohd Anuar Sharip.

Sehubungan itu badan itu menyeru Ismail untuk memastikan anggota polis mematuhi Akta Kaedah-kaedah Lokap (L.N.3289/1958)(4) supaya hak setiap Orang Kena Tahan (OKT) dihormati.

"Contoh lain pelanggaran hak asasi manusia yang serius boleh dilihat di dalam tindakan keras anggota polis terhadap peserta perhimpunan aman termasuk perhimpunan aman membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1 Ogos 2009 di mana seramai 589 orang termasuk kanak-kanak telah ditahan.

"Penggunaan kekerasan oleh anggota polis untuk menyuraikan peserta perhimpunan awam terutamanya dalam perhimpunan yang bertujuan untuk membantah dasar kerajaan telah menjadi kebiasaan di Malaysia.

"Hal ini menunjukkan PDRM tidak menghormati piawaian hak asasi yang turut termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, dan juga telah menyebabkan persepsi umum bahawa PDRM seringkali bertindak sebagai alat pemerintah untuk menekan suara bangkangan terhadap dasar kerajaan," tegas Suaram.

Heng Lung berkata, Suaram menggesa KPN baru untuk memastikan semua anggota polis bersifat adil di dalam menjalankan tugas mereka agar persepsi umum dapat diubah.

KPN juga mesti memastikan PDRM menghormati piawaian hak asasi manusia antarabangsa semasa mengawal perhimpunan awam.

"Lebih daripada itu, Suaram berpendirian imej buruk PDRM tidak mampu dipulihkan hanya dengan penggantian KPN. Perubahan struktural, bebas, telus dan adil untuk memantau salah laku anggota polis perlu dilaksanakan dengan kadar segera untuk memastikan akauntabiliti PDRM dan mengurangkan penyalahgunaan kuasa di kalangan anggota polis.

"Suaram mengulangi gesaan supaya penubuhan Suruhanjaya Bebas Pengaduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) seperti yang disarankan oleh Suruhanjaya DiRaja pada 2005 dilaksanakan dengan serta merta," kata badan itu lagi. -SK


Polis Ambil Sikap Politik Tangani Perhimpunan Anti ISA

Pakatan Rakyat Perak dan Gerakan Mansuh ISA menggesa agar satu jawatankuasa bebas ditubuhkan bagi menyiasat tindakan ganas pihak polis terhadap peserta perhimpunan aman anti ISA minggu lalu yang kini digunakan bagi kepentingan dan kelangsungan politik Umno-Barisan Nasional.

Ahli Dewan Undangan Negeri Teja, Chang Lih Kang berkata satu laporan polis telah dibuat terhadap Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang sebelum itu telah memberi amaran kepada kepada orang awam supaya tidak menghadiri perhimpunan memasang lilin yang dianggap sebagai perhimpunan haram.

"Kami merasakan pihak polis telah bertindak melampaui batas, mereka sepatutnya menjaga keamanan dan bukan sebaliknya.

"Perhimpunan aman memasang lilin itu tidak ada kena-mengena dengan pihak polis, apa yang rakyat mahukan adalah kerajaan Umno-BN memansuhkan undang-undang drakonian itu," kata beliau.

Katanya, sekiranya ada unsur yang mengancam keselamatan negara, barulah pihak polis boleh mengambil tindakan.

Tambah Lih Kang, apa yang berlaku pada perhimpunan tersebut, pihak polis tidak bersikap bebas dan sebaliknya mengambil pendirian bersifat politik.

Dalam laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Ipoh pukul 11 Rabu lalu, Pakatan Rakyat dan GMI meminta Ismail disiasat kerana menyalahguna kuasa beliau dengan mengambil pendekatan kuku besi dalam menangani protes terhadap peserta anti ISA.

Ismail juga didakwa gagal menjalankan tanggungjawab memelihara ruang demokratik di Malaysia dan pada masa yang sama telah mendasarkan keputusan beliau atas pertimbangan politik dan bukan atas isu keselamatan awam.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat yang turun bersama rakyat untuk memberi sokongan kepada perhimpunan mansuh ISA telah dihalang masuk ke Dataran Bandaraya Ipoh apabila pihak polis bertindak menutup jalan masuk utama ke situ.

Berpuluh-puluh anggota polis telah mengepung sekitar dataran DBI bagi menghalang orang ramai daripada menghampirinya.

Polis menangkap kira-kira 30 peserta perhimpunan aman anti ISA ditahan di lapan lokasi di seluruh negara. -SK (6/8/10)
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .