Ikuti Blog ini

Duit raya: Sami terima Dirham Kelantan

KOTA BHARU, 18 Sept: Seramai 40 sami mendapat duit raya sebanyak dua dirham sempena majlis Sambutan Hari Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan PAS Kelantan, hari ini.

Para sami yang diundang khas masing-masing mendapat duit raya berupa dua dirham itu disampaikan sendiri oleh Pesuruhjaya PAS Kelantan yang juga Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebaik sahaja mereka selesai menjamu selera.

Tuan Guru dan isteri, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak antara kenamaan yang hadir pada majlis tahunan itu.

Acara kemuncak yang menjadi acara yang ditunggu-tunggu khususnya kanak-kanak, majlis penyampaian duit raya oleh para pimpinan kepada mereka.

Hampir 1,000 kanak-kanak yang berusia 12 tahun ke bawah beratur untuk mendapatkan duit raya masing-masing.

Puluhan ribu rakyat Kelantan hadir pada acara tahunan itu di samping 20 orang Palestin, masyarakat India, Cina, Siam dan Sikh.

Terdahulu Tuan Guru turut melawat lebih 25 buah gerai yang disediakan oleh PAS seluruh kawasan, Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat di samping Nisa’.

Turut mengambil bahagian agensi kerajaan negeri Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK), Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) dan lain-lain lagi.

Antara juadah yang disediakan kepada orang ramai sate, nasi dagang, kuih muih, nasi bukhari, nasi arab, gulai kawah, pelbagai jenis laksa, lemang dan lain-lain lagi.

Dianggarkan hampir 100,000 cucuk sate dan aiskrim disediakan untuk para tamu.

Turut hadir pada majlis itu, Exco kerajaan negeri, wakil-wakilrakyat, anggota Parlimen, pemimpin parti peringkat negeri dan kawasan.

Di samping menikmati juadah yang disediakan, para hadirin di majlis yang bermula jam 12.00 tengah hari turut dihiburkan dengan lagu-lagu berunsur dakwah yang disampaikan oleh Kumpulan Dikir Hijrah Ar-Rasy yang diketuai Ausri Hussin. -Hrkh

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .