Ikuti Blog ini

PRK Galas Sudah Mula Hangat

http://buletinonline.net/images/stories/berita34/kulimuhyiddin.gifMuhyiddin Bimbang Tengku Razaleigh - Nama Tengku Razaleigh Hamzah disebut khusus oleh Muhyiddin dengan harapan Tengku Razaleigh tidak ber'onar'

Jangkaan Pilihantaya Kecil (PRK) akan diadakan berikutan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas menjadi suasana politik semakin 'hangat'.

PAS membuka langkah dengan menyarankan supaya Barisan Nasional (BN) berkompromi dengan menyerahkan kerusi kepada parti PAS pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Timbalan Setiausaha Agung PAS Pusat Datuk Takiyuddin Hassan berkata langkah itu perlu demi perpaduan Melayu dan mengelakkan pergeseran politik terus berpanjangan antara kedua-dua parti induk orang Melayu itu.

Katanya adalah wajar jika kedua-dua parti itu tidak bertanding pada pilihan raya kecil itu jika ingin melihat perpaduan di kalangan orang Melayu yang menjadi agenda utama negara.

"Bagaimanapun, adalah lebih baik jika kerusi itu diserahkan kepada PAS memandangkan kerusi DUN itu disandang oleh calon daripada parti berkenaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sidang media di Pameran Tortura iaitu alat penyeksaan di zaman pertengahan Eropah di Muzium Negeri, di sini, Selasa.

Takiyuddin berkata dengan cara demikian juga ia akan dapat menjimatkan perbelanjaan kewangan kedua-dua pihak dalam pilihan raya kecil.


Isu Semasa Dan Sentimen Tempatan Jadi Tumpuan

Sehubungan itu, penasihat jentera pilihan raya Pas Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata isu semasa dan sentimen tempatan dijangka menjadi tumpuan pada PRK DUN Galas yang bakal diadakan

Katanya kemenangan Pas pada pilihan raya umum sebelum ini pun banyak bergantung kepada kedua-dua isu itu.

"Sebab itu, kita menganggap pilihan raya kecil kali ini adalah suatu medan ujian penting kepada Pas dan Barisan Nasional," katanya kepada Bernama hari Selasa.

Wan Abdul Rahim berkata sentimen setempat di Galas berdasarkan kepada komposisi pengundi kerana kawasan itu mempunyai ramai pengundi daripada kalangan Orang Asli.


Polis Kelantan sedia


Dalam pada itu, Polis Kelantan dilaporkan bersiap-sedia bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam dalam menghadapi pilihan raya kecil sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Gua Musang perlu diadakan dalam masa terdekat.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, terserah kepada SPR bagi menentukan tarikh yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya kecil itu dan anggota polis mencukupi bagi memastikan ia berjalan lancar.

"Semua kekuatan logistik dan tenaga anggota mencukupi, kontinjen Kelantan sentiasa bersiap sedia menghadapi pilihan raya bagi memastikan suasana aman, selamat," katanya

Abdul Rahim berkata, polis tidak ada masalah bagi menghadapi pilihan raya itu dan berharap kempen yang dijalankan oleh parti-parti terbabit dalam suasana aman dan harmoni.


Pemimpin Umno Tuduh Pengundi DUN Galas Silap,


Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendakwa pengundi di Dewan Undangan Negeri(DUN) Galas, Kelantan telah melakukan kesilapan dalam pilihanraya umum lalu.

Beliau berkata, kononnya pengundi DUN Galas tidak sepatutnya mengulangi kesilapan dengan memilih calon daripada parti pembangkang pada pilihan raya negeri kawasan itu yang akan diadakan.

Beliau menambah tohmahannya, ramai pengundi di DUN tersebut kecewa dengan kegagalan pembangkang memenuhi janji manis mereka seperti yang berlaku di Selangor dan Pulau Pinang.

Kononnya, kata Sabri lagi, sekarang adalah waktu paling sesuai untuk pengundi di Gua Musang kembali menyokong Barisan Nasional (BN).


Umno akan Letak calon tempatan

Umno tidak ada pilihan kecuali akan akur dan meminta restu daripada Ketua Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin. menyebut secara khusus, Umno akan meletakkan calon tempatan dari Gua Musang yang diketuai oleh Tengku Razaleigh

Katanya, beliau berharap dan percaya, Tengku Razaleigh akan membantu Pengerusi Perhubungan Umno Dato' Mustapa Mohamad, memenangkan BN dalam PRK DUN Galas.

"Apabila pilihanraya kecil diumumkan, kita akan pilih calon dari Gua Musang, yang diketuai oleh Tengku Razaleigh (Hamzah), kita percaya Tengku Razaleigh, sebagai ketua bahagian akan membantu Datuk Seri Mustapa (Mohamed), selaku Pengerusi Perhubungan Umno bagi memastikan kemenangan BN,"kata Muhyiddin selepas menyampaikan ucapan di Forum International Herald Tribune.

Muhyidin berhati-hati dan berharap Tengku Razaleigh tidak menjadi halangan kerana Tengku Razaleigh sering mengeluarkan kenyataan kontra terhadap dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional. (Baca Blog Ku Li)

Tengku Razaleigh berterus terang menyebelahi kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu dalam isu royalti petroleum bahkan beliau sanggup menjadi saksi dalam saman kerajaan Kelantan dan Terengganu terhadap Petronas dan kerajaan Persekutuan.


PAS Yakin Menang

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub yakin parti Islam itu dapat mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas jika pilihan raya kecil diadakan ekoran kematian penyandangnya Che Hashim Sulaiman semalam.

Beliau melahirkan keyakinan kerana parti itu sudah membuat persiapan yang rapi dalam menghadapi pilihan raya umum, sekali gus jentera parti juga sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil DUN Galas.

“Parti sudah membuat persiapan rapi untuk menghadapi pilihan raya umum jadi pada saya semua jentera parti sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Kita tidak mempunyai masalah untuk hadapi pilihan raya kecil DUN Galas.

“Malah kita yakin akan mengekalkan kemenangan di DUN Galas kerana dengan persiapan awal dan rapi yang dibuat sebelum ini kita boleh,” kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

Pilihan raya kecil DUN Galas dijangka diadakan selepas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan itu Che Hashim Sulaiman, 46, meninggal dunia di Hospital Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur, semalam.

Hashim yang menghidap barah usus menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga kira-kira jam 4.30 petang semalam selepas dimasukkan ke hospital itu beberapa hari lalu.

Jenazah beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Betis, Gua Musang lewat malam tadi sebaik tiba dari Kuala Lumpur kira-kira jam 11.30 malam.

Pada pilihan raya umum ke-12 pada 2008, Che Hashim memperoleh 4,399 undi mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi. -BO
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .