Ikuti Blog ini

Sosilawati Mungkin Telah Selamat Jika Polis Pantas

Sosilawati Tidak Mungkin Dibunuh Jika Polis Bertindak Awal

Jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati dan tiga rakanyn tidak mungkin dibunuh sebegitu kejam sekiranya polis bertindak segera menyiasat beberapa laporan terdahulu berhubung kehilangan individu dan dakwaan jenayah komersil yang dikaitkan dengan suspek utama.

Menurut Lawyers for Liberty, sebuah badan dianggotai peguam yang memperjuangan hak asasi dan reformasi undang-undang pihak polis, dalam kes tersebut pihak polis tidak sepatutnya dipuji secara keterlaluan kerana mereka dilihat bertindak pantas hanya bila berdepan dengan kes-kes berprofil tinggi.

"Lawyers for Liberty merasa bimbang melihat ramai ahli politik dan pihak lain yang terlalu cepat memuji pihak polis kerana berjaya menyelesaikan siasatan terhadap kes pembunuhan Datuk Sosilwati dan tiga rakannya.

"Hakikatnya, pujian bahawa Polis DiRaja Malaysia sebuah pasukan yang efektif, kompeten dan profesional adalah jauh dari kebenaran. Pihak polis hanya bertindak seperti kilat apabila kes membabitkan kehilangan individu penting dan kaya berpangkat 'Datuk' tetapi pada masa yang sama tidak menghiraukan atau melengah-lengahkan penyiasatan terhadap banyak lagi kes kehilangan, pembunuhan dan komersil yang lain," kata Surendran dalam satu kenyataan media Jumaat lalu.

Beliau berkata setakat laporan media menyatakan hampir 20 orang telah menjadi mangsa kepada suspek utama yang ditangkap polis dalam kes pembunuhan Sosilawati.

"Bagaimana pelaku jenayah ini termasuk dua peguam yang telah dilucutkan kelayakan mereka dibiarkan melakukan jenayah sewenang-wenangnya tanpa sebarang tindakan polis terhadap mereka?

"Persoalan telah ditimbulkan dalam media kemungkinan pihak polis telah 'dibeli'. Adakah polis kurang sumber atau mereka terlalu sibuk menyiasat dan mengganggu gugat ahli politik pembangkang berhubung isu remeh temeh sehingga terlepas pandang jenayah sebenar?

"Adakah kita terkejut sekiranya rakyat mempunyai tahap keyakinan yang amat rendah terhadap kemampuan polis dan persepsi bahawa pasukan polis adalah korup dan bertindak sebagai pelindung golongankaya dan berkuasa?" soal beliau lagi.

Pada masa yang sama Lawyers for Liberty mengalukan jaminan Ketua Polis Negara yang baru bahawa polis akan mengambil tindakan segera terhadap semua laporan kehilangan serta berjanji akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana anggota yang culas.

Ini berbeza dengan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang bersikap defensif apabila disoal berhubung perkara yang sama.

"Adalah sesuatu yang memalukan apabila seorang Ketua Polis tidak mengendahkan persoalan wajar berhubung kemungkinan berlakunya kecuaian atau amalan rasuah pihak polis sehingga menyebabkan jenayah tersebut.

"Ini mengingkatkan kita berkenaan kes Norizan Salleh yang ditembak secara rambang sebanyak lima das oleh polis. Apabila persoalan ditimbulkan oleh pihak mangsa dan pihak prihatin, Menteri Dalam Negeri dan pihak polis dengan mudah memperlecehkan aduan malah mempertahankan tindakan polis sebagai betul.

"Sekiranya kes Norizan diberi perhatian serius, remaja 14 tahun Aminulrasyid tidak mungkin mati ditembak dalak situasi yang sama," tegas Surendran.

Sikap merugikan pihak polis yang bertindak sesuka hati tanpa menghiraukan undang-undang dan piawai prosedur (SOP) tidak mungkin berleluasa sebegini jika pegawai tinggi PDRM dan Menteri tidak sentiasa melindungi polis tanpa menghiraukan aduan walaupun terbukti kesalahan tembakan rambang, kekejaman dan pemalsuan bukti.

"Kami menggesa Menteri KDN mengambil langkah segera menangani kegagalan profesionalisme dam kompetensi polis dan mendesak penubuhan Suruhanjaya Bebas dan Salah Laku Polis (IPCMC) sebagaimana dicadangkan oleh Suruhanjaya Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM pada 2004.

Selain itu Lawyers for Liberty juga mendesak agar setiap kes jenayah yang tulen disiasat secara serius dan tidak hanya bertindak apabila membabitkan individu penting atau 'Datuk' yang kaya. -SK


Pembunuhan Altantuya, Sosilawati Ada Persamaan

Pembunuhan kejam terhadap ahli perniagaan terkemuka, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga rakan beliau menimbulkan persoalan di kalangan rakyat berhubung motif pembunuhan yang dilihat mempunyai banyak persamaan dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu empat tahun lepas.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata kes Altantuya sehingga kini masih lagi menjadi misteri dan hangat diperkatakan di kalangan rakyat dam masyarakat antarabangsa.

Malah kes Altantuya telah sampai ke peringkat antarabangsa di mana ia kini sedang disiasat secara serius oleh mahkamah Perancis berhubung skandal rasuah pembelian kapal selam Scorpene yang didakwa membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Kedua-dua kes ini mempunyai persamaan dan perbezaannya, iaitu ianya dilakukan secara kejam, di mana Sosilawati dibakar manakala Altantuya diletupkan dengan bom C4 dan perbuatan ini sudah pastinya bukan dilakukan oleh orang biasa.

"Dalam kes Altantuya, suspek utama ketika itu, Razak Baginda dikatakan mempunyai hubungkait dengan orang politik yang berpengaruh dan aspek ini ada persamaan dengan kes Sosilawati. Menurut laporan media suspek utama dikatakan mempunyai hubungan dengan pemimpin tinggi MIC dan Barisan Nasional.

"Pihak tertentu seolah-olah cuba menutup perkara tersebut daripada pengetahuan rakyat dan telah menimbulkan kemusykilan," kata Tian Chua kepada Suara Keadilan.

Berhubung polis tindak polis bertindak dengan cekap dan pantas menyelesaikan kes pembunuhan jutawan kosmetik itu, Tian berkata beliau tidak mempertikaikannya tetapi apa yang membingungkan adalah tindakan susulan mengenai motif pembunuhan kedua-dua kes itu yang sehingga kini menjadi misteri.

"Betul, Najib memberikan pujian kepada pihak polis yang bertindak cepat berhubung kes pembunuhan Sosilawati yang dianggap sebagai kes berprofil tinggi. Ini kerana Sosilawati tidak ada kena-mengena dengan beliau, sebab itulah beliau tidak kisah pihak polis bertindak tegas.

"Tetapi dalam kes Altantuya, beliau seolah-olah tidak kenal siapa Razak Baginda, Najib nampaknya tidak telus dan tidak boleh menjawab persoalan yang bermain di dalam kotak pemikiran rakyat," tegas Tian Chua lagi. -SK
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .