Ikuti Blog ini

Insaniah jadi kebanggaan negeri Kedah

ALOR SETAR – Pencapaian dan perkembangan Kolej Universiti Insaniah (Insaniah) sejak ditubuhkan lima belas tahun lepas menjadi kebanggaan Negeri Kedah.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah bertitah demikian di majlis Konvokesyen Kolej Universiti Insaniah (Insaniah) Kali Ke 12 yang diadakan Dewan Sultan Abdul Halim Muazdam Shah, Insaniah.

KDYMM Tuanku Abdul Halim yang juga merupakan Canselor Insaniah berharap Insaniah akan muncul sebagai sebagai sebuah universiti terunggul di Asia dan dunia dengan peningkatan jumlah pelajar antarabangsa yang memberi suasana baru kepada rakyat Kedah.

“Beta berharap taraf Insaniah akan ditingkatkan kepada sebuah Universiti apabila siapnya kampus tetap Insaniah di Kuala Ketil,” titah baginda lagi.

KDYMM Tuanku Sultan memuji langkah berani Insaniah mewujudkan sebuah sekolah antarabangsa dengan kerjasama beberapa negara Islam lain demi memperkasa pendidikan Islam di peringkat antarabangsa.

Baginda turut memuji Insaniah kerana berani menawarkan lapan program pasca siswazah tahun ini sekaligus melonjakkan Insaniah sebagai pusat penyelidikan.

Baginda Tuanku Sultan telah berkenan menganugerahkan ijazah kepada 617 graduan yang berjaya menamatkan pengajian mereka di Insaniah.

Baginda turut pekenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Keusahawanan dan Muamalat) kepada Pengerusi QSR Brands, Tan Sri Muhammad Ali Hashim.

Turut berangkat mencemar duli ke majlis konvokesyen ini KDYMM Tuanku Sultanah dan YTM Tunku Panglima Besar Dato’ Seri Tunku Puteri Intan Safinaz serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Ditulis oleh AZMAN AHMAD
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .