Ikuti Blog ini

Kes Konspirasi Ke II Anwar Ibrahim Bersambung 25 Oktober


Perbicaraan kes konspirasi ke II terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan disambung semula pada 25 Oktober depan, selepas sesi khas bagi mendengar keterangan dari saksi pihak pendakwaan, dijalankan hari ini.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memaklumkan, perbicaraan disambung semula mengikut jadual asal, selain memberi ruang kepada Timbalan Pendakwaraya, Datuk Nordin Hassan yang akan ke Mekah pada 18 Oktober ini.

Sementara itu prosiding yang bersambung jam 9.45 pagi ini menyaksikan pasukan pendakwaan mengemukakan dua orang saksi mereka, yang terdiri daripada pakar patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Siew Sheue Feng dan pakar rawatan dan kecemasan HKL, Dr Khairul Nizam Hassan.

Kedua mereka yang tampil buat pertama kali dalam perbicaraan ini, disoal oleh Timbalan Pendakwaraya, Datuk Nordin Hassan, dengan soalan berkisar prosedur, peralatan dan kaedah pemeriksaan kesihatan ke atas pengadu, Saiful Bukhari Azlan dijalankan.

Dalam salah satu jawapan dari Dr Siew Sheue Feng atas soalan yang dikemukakan, beliau menjelaskan bahawa, adalah berkemungkinan berlakunya penembusan ke dalam dubur, tanpa sebarang kesan kecederaan.

Sementara jawapan yang dikemukakan oleh doktor pertama yang membuat pemeriksaan ke atas pengadu, Dr Khairul Nizam Hassan pula mengatakan tidak ada bukti konklusif yang boleh menyatakan bahawa, tiada penembusan tanpa sebarang kesan kecederaan.

"Sebab itu kami nyatakan dalam kenyataan yang kedua," katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwaraya, Datuk Nordin Hassan.

Dalam pada itu, peguam pembantu Sankara Nair menjelaskan, tidak ada apa-apa perkara yang baru dalam kenyataan kedua saksi tersebut hari ini.

Pihaknya bersama peguam utama, Karpal Singh kini telah bersiap sedia untuk mengemukakan soalan balas kepada saksi pendakwaan, pada 25 Oktober depan.

"Kita akan jawab segala yang 'contradict' (bersalahan) dengan apa yang kita rasa ada. Kita telah bersiap sedia dan maklumat tersebut tidak boleh dinyatakan sekarang," katanya. TVS
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .