Ikuti Blog ini

Majlis Syura hargai pengorbanan Ustaz Hassan

KUALA LUMPUR, 19 Nov: Majlis Syura Ulama PAS menghargai pengorbanan dan jasa Almarhum Ustaz Hassan Shukri yang menggangotai majlis itu selama 20 tahun.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din yang mewakili Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan seluruh jawatankuasa menyampaikan surat penghargaan dan plak kepada isteri Almarhum Ustaz Hassan, Ustazah Hamidah Abdul Mutalib di rumahnya di Taman Melewar, pagi ini.

Menurut Dr Haron, Jawatankuasa Majlis Syura pada mesyuaratnya telah memutuskan untuk memberi penghargaan kepada Almarhum Ustaz Hassan dalam bentuk sesuatu yang dapat dilihat untuk dijadikan kenangan kepada anak-anak dan cucu beliau.

“Kami datang untuk berziarah dan menyampaikan penghargaan secara rasmi Majlis Syura sebagai menghargai bakti Almarhum Ustaz Hassan yang menjadi Ahli Majlis Syura sejak sesi 1990 hingga 2010,” ujar beliau yang turut disertai isterinya, Datin Khadijah Mohd Salleh.

Beliau juga menyatakan kesyukuran kerana Almarhum Ustaz Hassan telah dipanggil oleh Allah dalam keadaan yang cukup baik (husnul khatimah) yang telah menyumbang bakti kepada perjuangan Islam.

Menurutnya, Almarhum telah memberikan pandangan yang bernas berhubung dengan tahaluf siasi dalam mesyuarat Majlis Syura Ulama.

“Almarhum telah memberikan fikiran yang berguna dan sentiasa konsisten hadir pada mesyuarat Majlis Syura Ulama,” ujarnya.

Beliau yang menyimpan banyak kenangan pahit manis bersama Ustaz Hassan menyifatkan Almarhum sebagai pakar perlembagaan PAS.

Katanya, jika tiada buku peraturan PAS dibawa pada sesuatu mesyuarat, maka Almarhum Ustaz Hassan dijadikan sebagai rujuk mengenai perlembagaan PAS.

Selain pakar perlembagaan, ujarnya Almarhum Ustaz Hassan juga amat mengambil berat tentang organisasi PAS di semua peringkat.

Sementara itu, Ustazah Hamidah mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Majlis Syura Ulama PAS yang telah menyampaikan penghargaan tersebut.

Ustaz Hassan Shukri meninggal dunia pada 14 Jun bersamaan 1 Rejab lepas di Hospital Selayang. -Hrkh

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .