Ikuti Blog ini

Siasat Azmi Khalid Sebab Sebenar Beliau Enggan Siasat Sime Darby

Kerugian Sime Darby: PAC "cuci tangan"

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) "menyuci tangannya" dari kemelut kerugian RM2.1 bilion Sime Darby kerana ia menganggap pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu sebagai urusan sektor swasta.

Kenyataan yang memeranjatkan ini berikutan janji PAC sebelum ini yang mahu menyiasat kerugian besar yang dialami Sime Darby.

"Sime Darby ialah anak syarikat PNB (Permodalan Nasional Berhad) dan pemegang saham utamanya ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Kedua-duanya tidak boleh diklasifikasikan sebagai badan kerajaan kerana sumber kewangannya datang dari pelabur individu, kata Pengerusi PAC Azmi Khalid.

"Dana KWSP datang dari para pemegang saham manakala dana PNB datang dari para pelabur swasta.

"Oleh itu, PAC tidak layak menyiasat kerugian besar yang ditanggung Sime Darby," katanya, menambah PAC mencapai keputusan ini pada mesyuaratnya pada 27 Oktober lalu.

Keputusan ini mengejutkan, terutama selepas PAC pada Jun lalu berkata pihaknya akan menyiasat para pegawai Sime Darby, menyebutnya sebagai kepentingan awam.

Sime Darby menanggung kerugian sehingga RM2.1 bilion, dari unit tenaga dan utilitinya tahun ini. Sime Darby berkata pihaknya akan menyaman di mahkamah untuk menuntut kerugian ini.

Bagaimanapun, syarikat gergasi perladangan dunia itu tidak menyebut siapakah yang akan disaman. Sime Darby juga sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti.

Skandal Tuna

Dalam perkembangan lain, PAC mempertikai kedua-dua Kementerian Pengajian Tinggi dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) mengenai penyelewengan yang disebut dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009.

Azmi berkata, PAC telah bercakap dengan para pegawai kementerian berkenaan mengenai Program Makanan Tambahan dan akan menemu bual pihak pengurusan Pelabuhan Tuna Antarabangsa Malaysia (MITP) minggu depan tentang kerugian RM60 juta.

Walaupun Azmi, yang juga Ahli Parlimen Padang Besar, berjanji akan menyediakan laporan MITP namun beliau berdiam diri tentang hasil siasatan dengan menyatakan laporan itu belum siap. -FMT

Rakyat melihat kenyataan Azmi Khalid berkenaan semata-mata satu helah untuk melindungi kerugian Sime Darby.

Setiap syarikat yang dikategorikan sebagai "GLC" ada hubung-kaitnya dengan rakyat dan bererti PAC perlu akauntable kepada rakyat terhadap perjalanan syarikat berkenaan walaupun pemegang saham utamanya ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Malah jika pelaburan terbesarnya datang dari KWSP, sepatutnya PAC lebih berhak menyiasatnya - dua dalam satu, siasat Sime Darby dan siasat juga KWSP.

Azmi Khalid perlu diberhentikan, malah jika perlu, perlu disiasat sebab sebenar mengapa beliau enggan menyiasat Sime Darby. -GB
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .