Ikuti Blog ini

Kelantan sasar PBT jadi Perbandaran Islam

KETEREH, 8 Dis: Kerajaan Kelantan melahirkan komitmen bagi mencapai sasaran semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini dikenali sebagai Perbandaran Islam.

“Malam ini Majlis Daerah Ketereh (MDK) mencipta sejarah apabila muncul sebagai Perbandaran Islam pertama di Malaysia.

“Persoalannya sekarang bagaimana hendak mengisi Perbandaran Islam supaya selaras dengan matlamat yang digariskan,” kata anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau memberitahu perkara itu pada perasmian MDK Perbandaran Islam di Dewan MDK di sini, malam tadi.

Perasmiannya disempurnakan Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud menggantikan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Hadir sama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Datuk Che Rahim Che Jusoh, Adun Melor, Wan Ismail Wan Jusoh, Adun Kadok, Azami Mohd Nor dan Yang Dipertua MDK Perbandaran Islam, Tengku Azmi Tengku Jaffar.

Pada 1 Oktober 2005 Majlis Perbandaran Kota Bharu diisytiharkan sebagai Bandar Raya Islam.

MDK sebelum ini dikenali sebagai Majlis Daerah Kota Bharu (MDKB), ditubuh pada 1 Januari 1979.

MDKB meliputi kawasan seluas 155.90 km persegi merangkumi daerah Peringat, Kadok, Salor, Pendek dan Badak Mati. Pusat pentadbirannya terletak kira-kira 20 km dari Kota Bharu.

Kemudian pada 9 September 2004 kawasan baru dimasukkan ke dalam pentadbiran MDKB iaitu Dearah Beta, Salor, Lembu dan sebahagian mukim Tiong.

Pada 31 Januari 2006 nama MDKB ditukar kepada MDK dan malam tadi ditukar pula kepada MDK Perbandaran Islam.

Takiyuddin berkata, kerajaan negeri berharap PBT lain yang terdapat di Kelantan turut diterap menjadi Perbandaran Islam.

”MDK sesuai dijadikan sebagai Perbandaran Islam memandangkan di kawasan pentadbirannya mempunyai beberapa pusat pengajian tinggi agama.

”Antaranya Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Akademi Islam Universiti Malaya dan Masjid Kampung Laut. Kesemuanya terletak di Nilam Puri,” katanya.

Beliau berkata, MDK mencipta sejarah sempena sambutan 1 Muharam 1432 apabila diisytihar sebagai Perbandaran Islam. Ia bermula dari dasar Membangun Bersama Islam yang diperkenalkan sejak Oktober 1990.

Katanya juga ketika MPKB diisytiharkan sebagai Bandar Raya Islam ada pihak yang mempertikaikan dan menyindir, namun sekarang suara-suara seperti itu tidak kedengaran lagi.

Tengku Azmi berkata, pelbagai usaha dan aktiviti dilakukan bagi merealisasikan MDK sebagai Perbandaran Islam.

Antaranya melaksanakan kempen menutup aurat bagi wanita Islam dan berpakaian sopan bagi bukan Islam.

”Selain itu iklan yang menonjol wanita berpakaian tidak sopan dilarang. Dari segi reka bentuk bangunan baru pula mesti bercirikan Islam.

”Pusat penyebaran ilmu diwujudkan di pasar-pasar termasuk di Ketereh, Mulong, Kadok, Peringat dan Kok Lanas. Majlis ilmu diadakan setiap minggu di pasar terbabit,” katanya.

Beliau juga berkata, MDK sudah mencapai sasaran dari segi jumlah seperti ditetapkan Kementerian Kerajaan Tempatan iaitu 150,000 orang.

Jumlah penduduk di kawasan pentadbiran MDK Perbandaran Islam sekarang seramai 152,166 orang. -Hrkh

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .