Ikuti Blog ini

Panasss...Angkat Sumpah "Si Sesumpah" ini Tak Sah - Karpal Singh

Pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dilihat mampu membawa kepada krisis perlembagaan jika istiadat mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, yang dijadual untuk diadakan 6 Januari ini, diteruskan, kata pakar-pakar perundangan dan perlembagaan.

Memetik laporan portal The Malayian Insider, pakar-pakar perlembagaan berhujah upacara Khamis depan itu sebagai "tidak sah" memandangkan perlembagaan negeri menyebut bahawa upacara seumpama itu perlu dilaksanakan di hadapan Menteri Besar bukannya Sultan Selangor.

Kerajaan negeri Selangor sebelum ini menegaskan ia mempunyai kata putus dalam menentukan calon Setiausaha Kerajaan Negeri selepas Sultan Selangor memberi perkenan kepada nama yang disyorkan Putrajaya untuk melantik Khusrin.

Pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim juga dikatakan telah mempersembahkan tiga nama untuk pertimbangan Sultan Selangor bagi mengetuai perkhidmatan negeri yang paling kaya itu.

Sedangkan Khalid menganggap pelantikan itu belum muktamad tetapi Istana Selangor menegaskan, keputusan melantik Khusrin yang akan berkuat kuasa esok adalah muktamad.

Khalid yang bercadang untuk menghadap Sultan Selangor Rabu lalu tetapi terpaksa menangguhkan hasrat beliau sebab baginda bercuti sehingga awal minggu depan.

Difahamkan Datuk Ramli Mahmud yang akan bersara sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Mac depan juga pernah mengangkat sumpah di hadapan Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Mac 2006 ketika negeri itu ditadbir oleh Barisan Nasional (BN).

Ini kali pertama seorang Setiausaha Kerajaan Negeri dilantik selepas Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri pada Mac 2008.

Peguam veteran Karpal Singh berkata, perkembangan ini boleh membawa kepada krisis perlembagaan kerana ia tidak selari dengan perlembagaan negeri.

"Sultan perlu mendapatkan nasihat perundangan daripada penasihat undang-undang negeri sebelum majlis angkat sumpah diteruskan.

"Dalam perkara-perkara macam ini, Sultan bertindak atas nasihat Eksekutif, Tuanku tidak boleh bertindak sendirian.

"Perkara yang dikhuatiri ialah jika majlis itu diadakan, ia boleh diisytihar sebagai tidak sah oleh mahkamah," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Sehubungan itu kata beliau, langkah tersebut bercanggah dengan perlembagaan negeri memandangkan ia tidak tertakluk kepada Undang-undang Tubuh Selangor. "Perlembagaan negeri tidak membenarkan perkara ini . . . tetapi saya berharap ini tidak berlaku, itu sebabnya Sultan perlu berhati-hati sebelum meneruskan perkara ini," kata beliau lagi.

Karpal juga berkata, beliau juga secara peribadi telah diminta oleh Khalid agar melihat aspek itu dari sudut kesahihan perundangan.

"Saya sebenarnya sedang lihat pada aspek perundangan sekarang. Saya diminta membantu bagi pihak Menteri Besar," kata wakil rakyat DAP itu.

"Tindakan Sultan (menyempurnakan majlis angkat sumpah) boleh dibawa ke mahkamah," kata Karpal.

Artikel 52(4) perlembagaan negeri Selangor menyebut bahawa Setiausaha Kerajaan Negeri perlu menyempurnakan majlis angkat sumpah kerahsiaan tugas di hadapan Menteri Besar. Tiada sebutan mengenai majlis angkat sumpah di hadapan Sultan Selangor.

Dalam pada itu, pakar perlembagaan Prof A Aziz Bari juga menyifatkan majlis angkat sumpah di hadapan Sultan Selangor sebagai "amalan baru" yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Pada pengetahuan dan pengalaman saya ini kali pertama majlis angkat seumpama diadakan, walaupun saya berpendapat ia hanya satu majlis rasmi semata-mata dan tidak diperlukan," kata beliau.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .