Ikuti Blog ini

Gelombang Merah, angan-angan Mat Jenin

KUALA LUMPUR : PAS berpendapat hasrat BN merampas semula Kelantan dengan pelancaran Gelombang Merah bagi memikat sejumlah besar anak muda negeri itu sebagai angan-angan Mat Jenin.

Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad berkata beliau yakin anak muda Kelantan yang terkenal sebaga i golongan terpelajar dan memenuhi pusat-pusat pengajian tinggi sukar menerima BN yang telah terbukti gagal mengurus tadbir negara sejak lebih 50 tahun lalu.

"PAS berpandangan harapan Datuk Seri Mustapa Mohamed yang hendak memikat 400,000 orang muda Kelantan hanya angan-angan mat jenin sahaja.

"Orang muda Kelantan adalah generasi yang sedar dan bermaklumat. Mereka anti penindasan, diskriminasi dan penyelewengan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pelancaran projek Gelombang Merah oleh Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan untuk merampas semula negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Umno mensasarkan 400,000 belia Kelantan akan bersama mereka pada PRU itu nanti.

Strategi tersebut juga dilihat sama sewaktu Gelombang Biru yang dilancar Umno Terengganu pada tahun 2004 untuk merampas kerajaan negeri yang pada waktu itu diterajui PAS.

Kata Idris lagi, orang Kelantan juga sangat sukar untuk menerima Umno BN ekoran beberapa fakta diskriminasi oleh kerajaan pusat ke atas negeri itu.

Ianya termasuklah isu peruntukan kepada kerajaan negeri, isu sekatan 118 projek sejak Rancangan Malaysia ke enam pada tahun 1991dan terbaru isu royalti yang sehingga kini sangat perit dirasai rakyat negeri itu.

"Kenapa pemimpin Umno Kelantan yang berada di peringkat pusat telah mengkhianat rakyat Kelantan sehingga sanggup menyalurkan minyak ke Songkla Thailand, padahal lebih ekonomik ia mendarat di Kelantan.

"Kesemua sikap ini tidak boleh diterima oleh orang muda Kelantan untuk menerima Umno memerintah semula di Kelantan, kenapa mereka hendak menyerahkan diri mereka ke mulut naga untuk merosakkan sistem yang sudah dibina selama 20 tahun," ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan Mustapa, agar melihat dahulu negeri-negeri di bawah BN termasuk Sabah dan Sarawak yang masih tinggi kadar kemiskinan.

"Pulihlah ekonomi negara yang menghadapi kadar inflasi yang semakin tinggi, semuanya gara-gara kegagalan kerajaan BN.

"Kelantan sudah selesa di bawah kepimpinan PAS yang boleh bersaing dengan negeri-negeri di bawah pemerintahan BN. Umno janganlah jadi tikus membaiki labu," nasihatnya.

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .