Ikuti Blog ini

PRK Merlimau: PAS Bertanding Untuk Menang, Bukan Sekadar Uji Kekuatan

PAS Melaka menegaskan bahawa keputusan untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN Merlimau adalah untuk menang, bukannya untuk berlatih atau menguji kekuatan jentera parti itu sebagaimana tuduhan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Haji Adly Zahari berkata PAS dan Pakatan Rakyat bekerja bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan.

"Sebab itu kesungguhan kita, kalau kita lihat kesungguhan Pakatan Rakyat melalui program yang dianjurkan kita memberikan kesungguhan untuk mencapai kemenangan,” katanya kepada Malaysiainsider.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mohd Ali kelmarin yang menasihatkan PAS agar menyerah kalah dan menarik diri daripada bertanding pada pilihan raya kecil kerusi DUN Merlimau jika hanya mahu menjadikannya medan menguji kekuatan menghadapi pilihan raya umum.

Tegas Adly, PAS yang kini dipimpin Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyertai pilihan raya dengan sasaran untuk menang dan merampas pentadbiran daripada Barisan Nasional (BN).

“Mungkin tidak hari ini, kalau kita lihat di Ijok kita bertanding dalam pilihan raya kecil kita kalah tapi dalam pilihan raya umum kita menang dan sejauh mana kita boleh menang bergantung kepada usaha serta perancangan kita.

“PAS bertanding untuk menang, PAS tak bertanding semata-mata untuk bertanding... memang itu usaha kita sejak dari dulu, kalau kita bertanding semata-mata untuk bertanding, maka kita tak perlu nak bertanding dalam pilihan raya kecil.

“Tapi disebabkan untuk menang... untuk raih sokongan rakyat... untuk beri kesedaran kepada rakyat kita letak diri untuk berdepan Umno-BN,” katanya.

Selain itu, beliau juga berkata penentu kepada kemenangan PAS dalam pilihan raya kecil kawasan itu adalah undi orang Melayu yang merupakan majoriti di Merlimau.

“Sokongan undi penentu bagi saya adalah undi masyarakat Melayu jadi penentu kepada kemenangan, kalau ada sedikit perubahan dan anjakan masyarakat Melayu maka saya yakin kita akan capai kemenangan.

“Masyarakat Melayu tetap jadi asas kerana menjadi majoriti dan sudah pasti asas penentu kemenangan,” katanya.

Mengakui sokongan orang bukan Melayu terhadap PAS tidak begitu memberangsangkan, Adly bagaimanapun yakin jumlah itu akan meningkat pada pilihan raya kecil itu yang akan diadakan pada 6 Mac ini.

“Kita mempunyai sokongan masyarakat Cina yang agak rendah pada pilihan raya umum 2008 dan kalau kita lihat trend pilihan raya kecil masyarakat Cina masih kekalkan sokongan kepada Pakatan Rakyat.

“Jadi kita punya keyakinan sokongan masyarakat Cina akan meningkat terutamanya di Merlimau, jadi kita boleh beri lebih tumpuan terutamanya kepada masyarakat Melayu supaya dapat salurkan maklumat kepada mereka,” katanya.

DUN Merlimau yang mempunyai 10,679 pengundi berdaftar, meliputi tujuh daerah mengundi iaitu Ayer Merbau, Chinchin, Jasin Lalang, Merlimau Utara, Merlimau Pasir, Permatang Serai dan Pengkalan Samak.

Pecahan pengundi adalah Melayu seramai 6,935 orang (64.9 peratus), Cina seramai 2,218 orang (20.8 peratus), India seramai 1,510 orang (14.1 peratus) dan lain-lain seramai 16 orang (0.2 peratus).

Pilihan raya kecil DUN Merlimau menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara calon BN Roslan Ahmad dan calon PAS Yuhaizat Abdullah. -TMI
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .