Ikuti Blog ini

10 Jari Manusia Dikerat Cantik Ditemui Di Tepi Landasan Stesen Kuang

Kuala Lumpur: Seorang pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang sedang memeriksa trek kereta api terkejut apabila menemui 10 jari manusia dalam sebuah beg plastik berhampiran Stesen Kuang, dekat sini hari ini.

Sharudin Manaf dilaporkan menemui jari-jari tersebut dalam sebuah beg plastik berwarna putih kira-kira pukul 10 pagi, kata Ketua Polis Daerah Gombak ACP Rahim Abdullah kepada Bernama, menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Turut ditemui dalam beg plastik itu ialah pita pelekat berwarna hijau, manakala sehelai baju berwarna hitam berbelang putih serta seluar panjang hitam ditemui berhampiran beg plastik tersebut, katanya.

"Cap jari itu akan dirujuk segera ke Sistem Cap Jari Automatik Malaysia (MAFIS) untuk mengenalpasti butir-butir mangsa," kata beliau.

Rahim berkata, perlakuan jenayah itu dipercayai dilakukan kurang dari tempoh 24 jam.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penemuan jari tersebut agar tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. - BERNAMA


Misteri 10 jari dikerat 'cantik'

GOMBAK - Kejam! Perbuatan penjenayah terhadap mangsanya semakin sukar dijangka dengan kes terbaru polis menemui 10 batang jari seorang lelaki yang dikerat 'cantik' dibuang atas landasan kereta api berhampiran Taman Sri Putra Emas, Kuang di sini semalam.

Kesemua jari yang dibungkus di dalam beg plastik berwarna putih itu ditemui pada pukul 9.55 pagi oleh pejalan kaki sebelum memaklumkannya kepada kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Difahamkan, jari tersebut telah dilemparkan dari atas Jambatan Jintan tepat ke atas landasan iaitu di Kilometer 363 dari Butterworth ke pekan Kuang.

Siasatan awal polis mendapati, kesemua jari berkulit gelap tersebut diikat menggunakan pita pelekat sebelum dikerat serentak.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, ketika itu pekerja KTMB terbabit hanya menyedari lima batang jari di dalam beg plastik tersebut.

Bagaimanapun katanya, selepas diperiksa, polis mendapati terdapat lima lagi jari yang disyaki dikerat dari dua belah tangan milik seorang lelaki.

"Kita turut menemui sehelai baju T berwarna hitam berbelang putih dengan kesan darah dan sehelai seluar slack," katanya ketika dihubungi di sini semalam. -kosmo
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .