Ikuti Blog ini

'Abang handsome', 'peace' simbol Abang Mat

BATANG LUPAR, 7 April: Masyarakat di Dun Beting Maro bagai dilanda fenomena baru dengan kehadiran calon anak muda PAS, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus.

Pencalonan Abang Ahmad, 32, atau lebih mesra dengan panggilan 'Abang Mat', bukan sahaja ditunggu-tunggu, malah beliau dirai seperti seorang selebriti oleh masyarakat di sini.

Tinjauan Harakahdaily ketika hari pertama beliau berkempen bertemu rakyat semalam memperlihatkan betapa keterujaan rakyat menerima kehadiran beliau sebagai wakil mereka.

Manakan tidak, keluar sahaja dari kereta, beliau terus diserbu tidak kira golongan tua, muda mahupun kanak-kanak yang tidak mahu terlepas peluang bersalam dengan beliau.

Malah, ada sesetengah mereka yang mencium tangan beliau.

Panggilan 'handsome boy', 'Abg Mat handsome' kini mula dijadikan 'trademark' rakyat kepada calon yang berkerjaya peguam ini.

Satu lagi 'trademark' baru yang sedang dipopularkan di peringkat PAS kepada Abang Mat iaitu simbol dua jari iaitu 'peace' yang turut memberi makna calon nombor dua dalam cetakan senarai atas kertas undi.

Ianya juga sebagai melawan simbol satu jari '1Malaysia' yang dipopularkan BN.

Ditanya tentang sambutan luar biasa masyarakat terhadap beliau, Abang Mat berkata beliau terharu dan optimis akan berlaku perubahan besar di Dun ini.

"Alhamdulillah, sokongan tersangat baik...sepupu sepapat saya ramai di sini, kalau nak list tak cukup.

"Saya pun mula risau, sampai ada yang kata, hari ini tampal poster, esok semua hilang sebab masing-masing ambik simpan dalam almari kat rumah," katanya berseloroh.

Dalam pertemuan rakyat dengan beliau juga, didapati masalah tanah antara perkara yang sering diluahkan.

Tidak hairanlah, peguam muda ini sangat diharap sekurang-kurangnya mampu membawa masalah mereka dalam persidangan Dewan Undangan Negeri.

Mengulas sambutan rakyat terhadap PAS, beliau berkata sambutan rakyat itu sangat berbeza berbanding pilihan raya negeri 2006 dulu.

"Kalau 2006 dulu kita nak masuk rumah panjang kereta kita disekat dengan parang, tapi kali ini tuai rumah dia sambut kita, hampar tikar untuk kita," katanya yang petah berkata-kata.

"Tapi sekarang, orang muda pun sokong parti PAS sebab mereka nak sangat perubahan.

"Mereka nak bagi pengajaran kepada kerajaan memerintah," katanya lagi.

Ditanya isu yang akan dibawa sepanjang kempen pula, beliau tidak menolak isu tanah menjadi agenda utama.

Selain itu, beliau juga mahu memperjuangkan isu pendidikan kepada masyarakat di sini.

"Kalau diberi mandat, kita akan bagi ilmu kepada rakyat, bukan seperti BN, bagi duit 5 tahun sekali," katanya.

Mengulas pendekatan kempen pula, beliau yang mempunyai 15 orang adik beradik mahu menggunakan pendekatan mesra keluarga kerana majoriti masyarakat di sini mengenali keluarganya.

"Saya menganggap calon lawan itu, sebagai abang saya. Kita akan kempen dalam bentuk kekeluargaan dan tidak akan serang calon lawan.

"Yang penting, rakyat dahagakan perubahan," katanya.

Pada pilihan raya kali ini, Abang Mat ditentang calon BN, Razaili Gapor.

Dalam pilihan raya umum lalu, PAS mengetengahkan calon daripada kalangan ustaz, Alem Din yang tewas di tangan calon BN Bolhassan @ Ahmad Di dengan majoriti 895 undi. Kawasan Melayu Melanau itu mempunyai keseluruhan 7,868 pengundi. -Hrkh

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .