Ikuti Blog ini

Ahli PKR OKU ditahan ISA

KUALA LUMPUR, 2 April: Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) ditahan polis mengikut Seksyen 73 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kampung Kerinchi di sini, petang semalam.

Kadir Hashim, 42, adalah seorang ahli PKR ditahan dalam serbuan melibatkan 20 anggota polis berpakaian preman di rumahnya kira-kira pada jam 6.50 petang, lapor KeadilanDaily.

Perkara itu disahkan Mohamad Izhar, Ketua Angkatan Muda Keadilan Lembah Pantai kepada KeadilanDaily.

Beliau menganggap penahanan itu tidak masuk akal kerana Kadir adalah seorang peniaga tomyam OKU yang memiliki sebelah tangan dan mustahil untuk terlibat dalam ‘gerakan subversif’ seperti didakwa polis ketika membuat tangkapan.

“Kami (ahli PKR dan keluarga Kadir) tidak tahu sebab sebenar beliau ditahan polis,” kata Izhar.

Beliau berkata, PKR Wilayah Persekutuan akan membawa perkara itu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) pada Isnin ini.

Dalam pada itu, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) kecewa dan mengutuk sekeras-kerasnya penahanan berkenaan.

Dalam kenyataan media hari ini, kedua-dua badan bukan kerajaan (NGO) itu mahu mengetahui sebab sebenar penahanan Kadir dan mendesak supaya peguam dan ahli keluarga dibenar melawat Kadir secepat mungkin.

Mereka juga menganggap penggunaan ISA terhadap Kadir bertentangan dengan prinsip hak asasi, keadilan dan piawasai hak asasi antarabangsa, selain terdedah kepada bahaya penyalahgunaan kuasa dan penganiayaan.

Mengakui nilai keselamatan negara penting, GMI dan Suaram tetapi setiap invidu berhak memperoleh perbicaraan yang adil.

Mereka juga kecewa kerana kerajaan dari satu segi mahu mengkaji semula penggunaan ISA tetapi pada masa masa membuat tangkapan melulu mengikut akta zalim itu. -Hrkh

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .