Ikuti Blog ini

UUM & Mukhriz Memfitnah Kerajaan Kedah

MB Kedah nafi cukai tanah UUM dinaikkan

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak hari ini menafikan kerajaan pimpinannya menaikkan kadar cukai tanah 10 kali ganda terhadap Universiti Utara Malaysia (UUM).

Sebaliknya kata beliau, kenyataan yang dibuat Anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Naib Canselor UUM Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak itu tidak berlandaskan fakta sebenar.

"Apa yang berlaku ialah bagi tempoh Januari 2006 hingga Disember 2008, UUM telah diberi rebat oleh kerajaan negeri ketika itu menyebabkan cukai tanahnya dikurangkan dari RM1.7 juta setahun kepada RM100,000.

"Tetapi selepas tempoh rebat dua tahun itu berakhir, mereka diminta membayar pada kadar penuh semula iaitu RM1.7 juta,"
katanya pada sidang media, di Alor Star.

Azizan juga berkata akibat pemberian rebat kepada UUM itu kerajaan negeri pimpinanya kerugian RM1.6 juta.

UUM juga katanya, pernah memohon kepada beliau agar pemberian rebat itu disambung namun permohonan mereka ditolak.

"Mereka (UUM) boleh terus membuat rayuan dan kita akan pertimbangkan, tetapi tidak semestinya kita akan luluskan permohonan mereka itu," katanya.

Mengulas lanjut, Azizan berkata UUM juga telah diberi beberapa pilihan dalam membuat pembayaran cukai tesebut.

"Kita juga setuju mereka (UUM) berunding dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) mengenai bayaran ansuran. Pada tahun 2009 dan 2010 mereka bayar dengan kadar penuh," kata Azizan.

Beliau juga menegaskan kerajaan negeri yang diteraju pakatan pembangkang itu tidak pernah mengeluarkan arahan menaikkan cukai sejak mentadbir Kedah selepas pilihan raya umum 2008.

"...tetapi apa yang kita buat ialah pada 2008, kita menurunkan cukai tanah antara 35 peratus sehingga 75 peratus termasuk tanah-tanah milik kerajaan persekutuan.

"Disebabkan penurunan cukai itu kerajaan negeri telah kehilangan hasil tanah sebanyak RM50 juta setahun," katanya.

Mengenai isu air di UUM, beliau menasihatkan universiti itu dan Kementerian Pengajian Tinggi meningkatkan kemudahan sistem perairan seperti tangki dan paip air kerana kerajaan negeri telah menyiapkan paip besar di luar kampus tersebut yang boleh menampung sehingga ke Bukit Kayu Hitam.

"Setiap hari pihak Syarikat Air Darul Aman (Sada) menyalurkan bekalan air ke UUM sebanyak 15 juta liter sedangkan kawasan lain kita hanya bagi lima dan 10 juta liter sahaja. Jadi mereka perlu meningkatkan kemudahan loji dalam kampus supaya air itu dapat disalurkan kepada warga kampus," katanya. - Bernama


Serah UUM pada Kedah

ALOR SETAR, 19 April: "Serahkan Universiti Utara Malaysia (UUM) kepada kerajaan negeri kalau dah tak mampu nak tadbir kewangannya," kata Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebagai respons kepada isu yang ditimbulkan timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.

Semalam, Menteri Pedidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin juga dilaporkan mengecam kerajaan negeri Kedah yang kononnya menaikkan cukai tanah UUM sehingga 10 kali ganda sejak mengambil alih pemerintahan negeri sehingga pihak universiti terpaksa membayar RM1.8 juta setahun berbanding RM150,000 sebelum ini.

Azizan bagaimanapun menafikan dakwaan kenaikan cukai tanah tersebut, sebaliknya menjelaskan bahawa apa yang berlaku adalah tempoh pemberian rebat kerajaan negeri kepada universiti itu yang telah berakhir.

"Mengikut perjanjian asal, jumlah perlu dibayar oleh universiti adalah sebanyak RM1.2 juta tetapi pihak universiti hanya perlu bayar RM100 ribu setahun bagi tempoh 2006 hingga 2008 setelah permohonan mereka mendapatkan rebat diluluskan oleh kerajaan.

"Saya harap penjelasan ini membuktikan kerajaan negeri bukan naikkan cukai tanah, cukai asal lebih RM1 juta dan setelah diberi rebat UUM cuma bayar RM100,000 sahaja dan kini perjanjian telah berakhir, UUM kenalah bayar penuh.

"Sepatutnya mereka kena bayar RM1.2 juta tapi kalau UUM menghadapi masalah kewangan, mereka boleh memohon untuk mendapatkan rebat semula," jelasnya kepada media selepas berucap di himpunan bulanan kakitangan kerajaan di Wisma Darul Aman.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri tidak pernah bercadang hendak menaikkan cukai tanah yang diturunkan selepas mengambil alih pemerintahan negeri pada Mac 2008 yang lalu.

Mengenai masalah bekalan air yang sekian lama dihadapi warga universiti itu, Azizan berkata, isu ini perlu diselesaikan dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi.

"Saya pernah bangkitkan isu ini supaya pengurusan UUM kemukakan cadangan kepada kementerian untuk naik taraf infrastruktur bekalan air, tetapi saya tak nampak pun hasilnya," katanya. -HD

Cukai tanah tahunan UUM RM1.8 juta

PUTRAJAYA – Sukar dipercayai apabila kerajaan negeri Kedah sanggup mengenakan kadar cukai tanah tahunan 10 kali ganda lebih tinggi atau sebanyak RM1.8 juta setahun ke atas Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah sejak tiga tahun lalu.

Nasib malang universiti itu didedahkan sendiri oleh Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak yang terpaksa merayu kerajaan negeri supaya mengurangkan kadar cukai tersebut.

Menurutnya, kadar cukai tanah yang terlalu tinggi itu sepatutnya digunakan untuk tujuan penyelidikan dan penerbitan universiti.

Sebelum ini UUM membayar RM150,000 cukai tanah setahun.

Lebih menyedihkan lagi, ujar beliau, UUM juga terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk menyewa lori mengangkut air bagi kegunaan pelajar universiti tersebut yang menghadapi masalah untuk mendapatkan air bersih sejak tahun lalu.

Menurutnya, sejak setahun lalu sebahagian pelajar UUM terpaksa mengambil air menggunakan baldi daripada lori yang disewa khas tersebut dan ia menyukarkan usaha universiti berkenaan menarik pelajar dari luar negara.

“Masalah ini amat membebankan kewangan dan kami telah mengemukakan rayuan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak supaya cukai tanah itu dikurangkan tetapi tiada jawapan hingga kini.

“Bagaimanapun kami tetap tidak ketinggalan menjelaskan bayaran yang dikenakan itu sejak tiga tahun lalu” katanya pada majlis pelancaran Program Khas Pasca Siswazah Untuk Ahli Parlimen di UUM oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di sini semalam. -kosmo
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .