Ikuti Blog ini

IPT menanti, tapi remaja masih di lokap

keluarga remaja tahanan EO, emergency ordinanceBimbang dengan masa depan gelap yang mungkin dihadapi anak mereka, sekumpulan ibu bapa terpaksa meminta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia campur tangan dalam kes penahanan remaja berkenaan bawah Ordinan Darurat.

Seorang daripada ibu remaja berkenaan, Rosmawati Taib berkata, anaknya itu sepatutnya mula mendaftarkan diri di kampus UiTM pada 29 Mei, namun tidak dapat berbuat demikian kerana masih berada dalam tahanan.

Rosmawati berkata, anaknya yang masih berusia 17 tahun itu masih ditahan di lokap balai lokap Ayer Molek, Johor Bahru bawah undang-undang berkenaan.

"Sepatutnya dia dibebaskan. Dia perlu belajar untuk masa depan dia. Apa yang berlaku ini saya sangat tidak puas hati sebab anak saya tidak bersalah.

"Sepatutnya anak saya akan habis tempoh tahanan 60 hari pada 12 Jun. Polis beritahu saya, anak saya selepas ini mungkin akan dibuang daerah atau dipenjara selama dua tahun.

"Polis kata, memang begitulah tindakan mereka. Kecuali jika kami (ibu bapa) merayu kepada menteri dalam negeri sebab itu bawah keputusan menteri," kata Rosmawati ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Rosmawati hari ini hadir ke Suhakam bagi meminta suruhanjaya itu masuk campur dalam kes berkenaan, memandangkan peguam turut enggan membawa kes yang turut melibatkan dua lagi remaja berusia 17 tahun.

Turut ditahan bersama kumpulan remaja berkenaan ialah seorang pemuda, Muhammad Noorariff Bakran, 20.

keluarga remaja tahanan EO, emergency ordinanceKetua penerangan pemuda PAS, Suhaizan Kayat yang turut bersama ibu bapa remaja berkenaan hari ini berkata kumpulan anak muda itu ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam satu pergaduhan pada malam 28 Mac lalu di Sri Alam, Johor Bahru.

"Kalau benar (anak muda ini) bersalah, dakwa di mahkamah. Kalau tidak, lepaskan mereka. Kita tidak mahu perkara ini menjadi kesusahan kepada mereka," kata Suhaizan ketika dihubungi.

Sementara itu, penyelia pusat aduan rakyat PAS Permas, Syed Othman Syed Abdullah pula berkata, keluarga berkenaan tiada pilihan lain memandangkan peguam bagi kes berkenaan telah menarik diri daripada kes berkenaan.

"Peguam kata tak boleh buat sebab kes bawah Ordinan Darurat tak boleh dibawa ke mahkamah. Keluarga telah berhubung dengan polis tapi polis masih tidak boleh bagi jawapan, remaja ini ditahan bawah kesalahan apa," katanya lagi. -M'kini

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .