Ikuti Blog ini

Himpunan Bersih: BN Dah Panik Tak Tentu Pasal

Himpunan Bersih: Pemimpin BN lekas panik

Kebimbangan yang disuarakan oleh para pemimpin negara seolah-olah satu bala bencana yang dahsyat akan menimpa negara ini jika sekiranya perhimpunan itu diteruskan.

Sebenarnya, sesuatu perhimpunan aman yang dianjurkan bertujuan untuk mendesak dilakukan perubahan dalam sistem pilihan raya dalam sebuah demokrasi tidak harus menjadi satu isu atau dihebohkan tetapi berbeza pula apa yang berlaku di Malaysia.

Di negara ini, agak menghairankan kerana berita mengenai cadangan untuk menganjurkan perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mencetuskan rasa panik di hati sanubari para pemimpin parti yang memerintah.

Sejak Bersih bercadang diadakan perhimpunan aman itu pada 9 Julai bagi mendesak supaya dilakukan reformasi dalam sistem pilihan raya agar lebih bebas dan adil, sehari pun tidak sunyi dengan kenyataan-kenyataan daripada para pemimpin yang meluahkan rasa bimbang mereka.

Kebimbangan yang disuarakan oleh para pemimpin negara seolah-olah satu bala bencana yang dahsyat akan menimpa negara ini jika sekiranya perhimpunan itu diteruskan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengeluarkan amaran bahawa negara akan ditimpa ketidakstabilan ekonomi dan politik.

Sayap pelampau rasis Umno pula, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), juga ingin menganjurkan perhimpunan pada hari yang sama yang bertujuan untuk menghalang Himpunan Bersih.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengugut untuk menahan para peserta dan pada masa yang sama beratus-ratus laporan dibuat kepada polis oleh Umno dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokongnya bagi menentang Himpunan Bersih itu.

Terbaru, ketika beliau berucap pada mesyuarat agung Umno di Beaufort, Sabah pada 18 Jun lalu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri

Muhyiddin Yassin mendakwa parti pembangkang yang mendalangi Himpunan Bersih itu mahu menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Terdahulu, Bersih menjemput semua parti politik termasuk BN dan Pakatan Rakyat dan NGO serta para aktivis untuk menyertai gerakan rakyat ini yang bertujuan untuk memulihkan intergriti sistem pilihan raya di Malaysia, yang telah sekian lama korup dan memihak kepada parti yang memerintah. Ketika mana Pakatan Rakyat menyahut cabaran ini, BN sebaliknya menolak.

Rasional BN pelik

Muhyiddin menyangkal usaha Bersih ini dengan mendakwa kemenangan pembangkang yang signifikan ketika Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 sebagai bukti sistem pilihan raya itu dijalankan dengan adil.

Beliau bertanya, “jika pilihan raya lalu tidak adil dan saksama, macam mana mereka (pembangkang) boleh mencapai kemenangan?

“Jika mereka menang mereka diam dan jika mereka kalah, mereka mendakwa berlaku ketidakadilan. Saya fikir motif mereka ialah untuk mencari jalan pintas ke Putrajaya,” katanya.

Mengambil contoh kemenangan pembangkang sebagai bukti sistem pilihan raya adalah adil sudah menjadi jawapan yang standard untuk menepis segala salah guna kuasa BN yang semakin meruncing.

Tetapi hujah sedemikian tidak logik dan kelakar kerana sama ada sesuatu pilihan raya itu adil harus ditentukan oleh cara bagaimana pilihan raya itu dikendalikan.

Faktor-faktor seperti kehadiran atau ketidakhadiran suruhanjaya pilihan raya yang berkecuali dan sama ada wujud atau tidak wujud ‘padang permainan yang sama rata.’ Ia tidak boleh diukur dengan cara, sama ada seseorang calon itu menang atau kalah.

Pilihan raya di Malaysia dimanipulasi dengan tidak adil sehingga membuat kita tidak teragak-agak untuk membuat kesimpulan bahawa Pakatan Rakyat mampu menyapu bersih bagi meraih kemenangan pada PRU 2008 jika sekiranya pilihan raya dijalankan dengan adil dan saksama, memandangkan pecahan undi popular adalah seimbang iaitu pada nisbah 50-50.

Sistem pilihan raya yang tempang

Bagaimana kita boleh menganggap pilihan raya Malaysia berjalan dengan adil apabila Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bertindak sebagai komponen dan agen BN?

Bagaimana kita boleh menganggap pilihan raya Malaysia berjalan dengan adil apabila keseluruhan media massa di negara ini dikawal (kecuali Internet) dan berkhidmat sebagai alat propaganda BN?

Sejak PRU 2008, pilihan raya kecil (PRK) yang berlangsung mendapati BN berleluasa melakukan amalan rasuah, yang dicetuskan sendiri tidak lain dan tidak bukan oleh Perdana Menteri sendiri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dalam dua PRK, Hulu Selangor dan Sibu.

Lebih mengejutkan ketika mana klip video tentang tawaran rasuah dipertonton di seluruh dunia melalui You Tube, hakim Azhar Mohamed menolak petisyen untuk membatalkan keputusan PRK Hulu Selangor atas alasan “tidak cukup bukti.”

Walaupun mahkamah melarang sebarang bentuk rasuah yang dibuat secara terbuka oleh para pemimpin parti pemerintah, pintu rasuah tetap dibuka dengan luas, dan salah guna kuasa berleluasa untuk memberi kelebihan kepada BN.

Inilah sebenarnya apa yang berlaku dalam pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini, di mana BN menyapu bersih bagi meraih kemenangan menerusi dua strategi, ugut dan rasuah.

Usaha Bersih harus dipuji

Berdasarkan keadaan ini, usaha Bersih harus dipuji dan masa untuk menganjurkan perhimpunan ini adalah bertepatan sekali di mana sebuah petisyen akan diserahkan kepada Yang DiPertuan Agong bagi menyelamat sistem pilihan raya kita daripada dicemuh oleh masyarakat dunia.

Di antara tuntutan Bersih ialah, melarang sebarang bentuk beli undi,memulihkan kebebasan dan sikap berkecuali badan-badan penguatkuasa pilihan raya, akses kepada media, menyemak semula sistem undi pos dan membersihkan senarai daftar pemilih yang penuh dengan penipuan dan pengundi hantu.

Melihat dari cadangan-cadangan ini yang dituntut ini maka langkah Bersih ini tidaklah menjadi ancaman kepada kepentingan negara.

Tetapi ia merupakan suatu usaha untuk menyelamatkan demokrasi dan memulihkan keadilan dan kesaksamaan di mana kita dapati selama ini institusi-institusi kerajaan diperalatkan bagi mengekalkan pemerintahan autokratik mereka.

Berhubung keengganan pihak polis untuk mengeluarkan permit untuk perhimpunan itu, kita ingin menasihatkan pihak polis bahawa mereka tidak mempunyai kuasa untuk menghalang perhimpunan aman itu.

Kebebasan untuk berhimpun adalah hak perlembagaan yang dijamin kepada setiap warga negara dan peranan polis ialah untuk memastikan keamanan sepanjang perhimpunan itu dijalankan.

Sebarang percubaan daripada pihak polis atau mana-mana pihak untuk menghalang perhimpunan aman ini, yang mempunyai niat yang baik, dianggap sebagai percubaan untuk mencabul perlembagaan dan tidak dapat diterima oleh rakyat.

Kita harus sedar bahawa rakyat Malaysia tidak akan berkompromi dalam usaha untuk mendapatkan hak tentang pilihan raya yang bebas dan adil serta hak kebebasan untuk berhimpun. -FMT
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .