Ikuti Blog ini

Sabu & Mahfuz Di Barat & Utara, Husam Di Timur, Salahuddin Di Selatan

Husam: PAS akan lakar pelan kemenangan jelang pilihan raya

KUALA LUMPUR: Naib Presiden baru Parti Islam Semalaysia (PAS), Datuk Husam Musa, semalam berkata pihaknya akan merangka satu pelan kemenangan ke arah mempersiapkan parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Malaysia ke-13.

Ia adalah antara beberapa rangka merealisasikan tema muktamar PAS, 'Membangun Negara Berkebajikan', yang baru tamat, lapor laman berita rasmi PAS, semalam.

Ketika ditemui sejurus selepas diumumkan menang jawatan naib presiden itu, Datuk Husam dipetik oleh laporan laman berita Harakah Daily sebagai berkata bahawa perkara tersebut akan diperincikan di peringkat semua dewan yang sesuai dengan peranan masing-masing.

'Kita akan adakan pelan kemenangan, iaitu setiap dewan akan diberikan peranan dan tugas masing-masing seperti Dewan Pemuda, yang dicadangkan agar lebih fokus kepada daftar pemilih pengundi muda secara berstrategi,' katanya di Kolej Universiti Zulkifli Muhamad, Taman Melewar, Gombak, dekat sini, baru-baru ini.

Mengulas kemenangannya pada pemilihan pemimpin PAS kali ini, beliau menganggap ia sebagai satu kemenangan yang bersifat kolektif.

'Kemenangan ini turut memperlihatkan bahawa tidak timbul isu ulama terhakis kerana dalam PAS tidak berlaku perbezaan dan kami tidak merasakan ada keganjilan. Isu ini sengaja diada-adakan pihak luar yang ada agenda,' jelasnya.

Datuk Husam, yang juga exco kanan kerajaan Negeri Kelantan, menyifatkan saf kepimpinan baru ini sebagai satu pasukan yang baru muncul untuk membantu Presiden PAS.

'Kami semua adalah satu pasukan yang mahu bersama Presiden kerana kelebihan dan kekuatan pasukan ini adalah performance atau prestasi mereka sebelum ini. Mahfuz (Omar) dari Utara, Salehudin (Ayub) dari Selatan dan saya dari Timur.

'Kami perlukan pembetulan kerana PAS mempunyai tanggung jawab yang besar dan ia satu pasukan yang boleh diterima - saya berharap kami mempunyai kesempatan berbincang di semua peringkat bagi membantu kemenangan,' katanya lagi.

Beliau turut menekankan peranan dan kemampuan media dalam memastikan pelan kemenangan itu terlaksana. -BHS
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .