Ikuti Blog ini

Status Akuan Bersumpah Bala, Nazri Kelirukan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR 22 JUN : Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz didakwa mengelirukan wakil rakyat berhubung jawapan lisannya di parlimen mengenai status kes akuan bersumpah penyiasat persendirian P. Balasubramaniam.

Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah berkata penjelasan bertulis oleh menteri itu menafikan, pengakuan bersumpah Balasubramaniam yang dibuat pada Julai 2008 boleh digunapakai di dalam prosiding mahkamah.

Tambahnya, Nazri sengaja mengklasifikasikan keterangan bersumpah Balasubramaniam tidak memenuhi peruntukan di bawah Seksyen 199 dan Seksyen 200 Kanun Keseksaan.

Namun Sivarasa yang juga seorang peguam menyatakan sebarang akuan bersumpah menurut undang- undang boleh diterima sebagai bukti di mahkamah walaupun ianya palsu.

"Kita tidak perlu masuk sekolah undang- undang untuk memahami perkara ini. Walaupun ianya dibuat di luar mahkamah tetapi masih boleh diterima," jelas beliau.

Beliau menjawab soalan lisan yang diajukan oleh Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mengenai tindakan yang masih belum diambil oleh Timbalan Pendakwa Raya sehingga kini dalam kes tersebut.

Balasubramaniam pada tahun 2008 membuat akuan bersumpah mendakwa Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak Tun Razak mempunyai hubungan sulit dengan jurubahasa wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang mati dibunuh.

Namun dalam minggu yang sama Balasubramaniam membuat akuan bersumpah kedua, menyatakan beliau tidak pernah diberitahu oleh Abdul Razak Baginda bahawa Najib pernah mengadakan hubungan seks dengan wanita itu termasuk perbuatan luar tabii.

Sivarasa ketika sidang medianya di lobi parlimen berpendapat, Nazri hanya mengemukakan jawapan tersebut bertujuan menghalang kes pembunuhan kejam Altantuya dibangkitkan semula.

"Kalau menteri sebut tidak ada kes, beliau (Bala) sepatutnya diambil tindakan kerana telah memburukkan pemimpin negara," katanya lagi.

Dalam sidang media yang sama, Tian Chua turut mempertikai gerak kerja Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang mengambil masa terlalu lama untuk mendakwa trio 'Datuk T' bersabit kesalahan mengedar rakaman video lucah yang cuba dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepada umum.

Tian dalam Dewan Rakyat sebelum itu bertanya samada polis memberi perlindungan kepada 'Datuk T' walaupun tindakan mereka jelas melanggar Akta Penapisan Filem 2002.

"Siasatan ini seolah-olah mencari siapa pelakon. Tapi isu bukan pelakon, yang jelas langgar undang- undang adalah orang yang edar dan pamer video lucah, harus diambil tindakan dahulu. Ini sudah masuk 3 bulan," kata beliau kepada media.

Dalam perkembangan lain, 'Datuk T' yang mengaku bertanggubgjawab menayangkan rakaman video seks kepada sekumpulan wartawan terpilih di Hotel Carcosa Seri Negara, 21 Mac lalu, akan didakwa di Kompleks Mahkamah Tinggi, Jalan Duta Jumaat ini.

Perkara itu disahkan salah seorang daripada trio berkenaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah memberitahu portal berita The Malaysian Insider melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Mereka akan didakwa di Mahkamah Jalan Duta pada jam 8 pagi, 24 Jun 2011.

'Datuk T' merangkumi ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim.

Ketiga- tiga individu tersebut kemungkinan akan didakwa dibawah Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .