Ikuti Blog ini

Pakatan Bersih paparkan “1Malaysia” sebenar

KUALA TERENGGANU - Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob berkata tarikh 9 Julai lalu wajar diingati sebagai tanda hari kemenangan bagi rakyat Malaysia yang berjaya merealisasikan slogan ‘OneMalaysia’ sebenarnya.

Menurutnya Himpunan Aman BERSIH 2.0 Sabtu lalu memaparkan perpaduan berbilang kaum mengatasi kempen Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak.

“Tarikh 9 Julai, adalah tanda hari kemenangan bagi rakyat Malaysia. Itulah sebenarnya, OneMalaysia. 1Malaysia yang tidak dapat ‘dinikmati’ oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak.

“Walau pun beliau (Najib) terpaksa terpekik-terlolong, bersyarah di seluruh negara dengan slogan ‘Onemalaysia’. Tetapi yang berjayanya ialah kita pada hari tersebut,” tegasnya pada Majlis Ceramah Pra-PRU Ke-13, di Kampung Padang Hiliran, Kuala Terengganu, 14 Julai lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata Bersih 1.0 yang dilaksanakan pada tahun 2007 tidak sama dengan Bersih 2.0 yang lalu.

Katanya, berlaku suatu fenomena era baru dalam politik Malaysia terutama di kalangan anak-anak muda.

“Bersih 1.0 tidak sama dengan Bersih 2.0 kerana pada tahun 2007, Bersih 1.0 saya berani katakan 95 peratus pesertanya adalah majoriti orang Melayu Islam sahaja.

“Tetapi Bersih 2.0 adalah suatu fenomena dan senario yang jauh berbeza dan kita dapat lihat suatu kebangkitan. Berlaku suatu era baru dalam politik Malaysia khususnya anak-anak muda Malaysia.

“Orang Cina, orang India, orang Melayu hingga kepada kumpulan-kumpulan etnik dari Sabah dan Sarawak datang untuk menyemarakkan perhimpunan Bersih 2.0 dengan satu tekad dan matlamat untuk kita mendesak supaya diadakan suatu sistem pilihan raya yang adil dan bersih dalam negara kita,” jelasnya.

Katanya, PAS akan terus menyokong perjuangan tuntutan Bersih 2.0 hingga menjadi satu kenyataan kepada rakyat Malaysia.

Menurutnya, tidak ada istilah berputus-asa dalam perjuangan menuntut keadilan bersama Bersih 2.0 kerana tidak terkeluar dari lunas-lunas dan undang-undang.

“Kita (PAS) akan terus berjuang untuk kita menjadikan tuntutan Bersih 2.0 itu satu kenyataan, Insya’Allah. Kami rakyat Malaysia, kami tidak akan putus-asa dan kami tetap akan berjuang kerana apa yang Bersih 2.0 tuntut, tidak pernah terkeluar dari lunas-lunas, undang-undang.

“Apa yang Bersih 2.0 perjuangkan tidak pernah mencabar ketinggian Perlembagaan Negara dan apa yang Bersih 2.0 perjuangkan tidak pernah menderhaka titah Seri Paduka Banginda Yang DiPertuan Agong.

“Kita akan terus mara, Insya’Allah. Kita hendak menumbangkan Umno-BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang,” ujarnya

Salahuddin menggesa agar rakyat Terengganu berani membuat perubahan kerana dengan sistem pilihan raya yang bersih mampu menawan semula Wisma Darul Iman. -BO
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .