Ikuti Blog ini

Balik raya berbekalkan juadah media alternatif

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu
jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32BEGITU gegak gempitanya media alternatif termasuk laman portal Malaysiakini, Harakahdaily; akhbar cetak seperti Suara Keadilan dan Harakah; blog dan media baru terkini seperti Facebook, membicarakan isu kepincangan SPR dan kewarganegaraan; namun ‘keributan’ itu kelihatan tidak dipedulikan langsung orang kampung.


Sebaliknya, media tradisional seperti surat khabar Utusan, Berita Harian dan media elektronik RTM dan TV3 masih dianggap ‘kitab paling sahih’, jadi tak hairanlah ketika meninjau-ninjau isu dibualkan di tepi gerai atau pasar malam, ramai yang memuji-muji kerajaan kerana memberi bonus setengah bulan gaji kepada kakitangannya sempena Aidilfitri ini.

Orang pencen pun tersengih, mengucapkan tahniah kepada satu sama lain kerana mendapat habuan RM500. "Siapa nak bagi, terima kasih kerajaan," terdengar seorang pesara berkata kepada seorang sahabatnya ketika turun dari basikal di depan sebuah pejabat pos mini kampung.

Berlainan sebahagian orang bandar yang membicarakan secara agresif mengenai laporan isu kewarganegaraan yang didakwa membolehkan sekian jumlah bekas warga asing mengundi, orang kampung nampaknya tidak peduli, malah tidak peka pun terhadap permasalahan tersebut.

Pergilah ke kawasan pedalaman, mereka tidak bercakap pun mengenai perkara itu. Salah satu sebabnya, orang kampung tidak tahu dan mereka pun tidak didedahkan secara berhikmah mengenai kebobrokan pihak-pihak tertentu ini. Malahan media alternatif, tidak sampai pun ke kawasan mereka; hari-hari mereka dihadapkan propaganda RTM dan TV3 dan membaca akhbar Utusan dan Berita Harian.

Perangkaan menunjukkan media alternatif bercetak seperti Harakah mempunyai edaran dan pasaran terbesar di Lembah Klang manakala di kawasan pedalaman kadang-kadang akhbar ini tidak sampai atau kedapatan sama sekali.

Berdasarkan keadaan ini, adalah amat baik sekali untuk anak-anak yang berkhidmat di bandar-bandar, mulai sekarang mengumpulkan bahan-bahan bacaan termasuk akhbar alternatif untuk dibawa pulang ke kampung masing-masing untuk dijadikan sebagai antara ‘juadah’ hari raya nanti. Inilah masa terbaik untuk kita berbakti kepada perjuangan, kerjanya tidak berat, kita hanya keluarkan sedikit modal dan hulurkan bahan bacaan berkenaan kepada saudara-mara dan sahabat.

Dengan adanya bahan-bahan itu, kita tak perlulah bercakap banyak kerana bimbang ia akan mencetuskan perbahasan dan pertelingkahan pada hari mulia, memadailah kita menghadiahkannya kepada mereka; insya-Allah mereka yang berhati kering pun akan membacanya nanti kerana mereka mendapat bahan-bahan itu secara ‘free’.

Atau lebih baik lagi, jika memasukkan misalnya akhbar Harakah dalam bungkusan kuih-muih yang kita hadiahkan kepada saudara-mara dan sahabat. Jadi tidaklah nampak kita terlalu berkempen pula.

Ataupun, kita boleh letakkan akhbar-akhbar berkenaan di meja makan (janganlah dibuka TV), mahu tidak mahu tetamu yang sudah lama datang; bagi menghilangkan kebosanan, akan menyelak akhbar itu nanti. Kata orang tak kenal tak cinta, mana tahu lepas menyelak-nyelak helaian akhbar itu mereka dapat ‘hidayah’, lantas menjadi penyokong kuat perjuangan Islam pula!

Bagi menghadapi saudara-mara dan sahabat yang sudah kita kenal hati budi mereka, di samping menghadiahkan bahan bacaan berkenaan, kita bolehlah membuat sesi penerangan (jika kita mahu kita bolehlah membuat jamuan atau rumah terbuka kemudiannya), insya-Allah mereka akan menerimanya jika melakukannya secara berhikmah.

Apa yang penting, kita sambutlah saranan ini dan buatlah kerja mudah yang dicadangkan, insya-Allah hasilnya akan dapat dilihat nanti!

Oleh Lanh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .