Ikuti Blog ini

PERUTUSAN EIDULFITRI 1432

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar
Walillahil hamd

Sama ada kita sedar mahupun tidak, Ramadhan semakin menghampiri penghujungnya. Bulan istimewa ini bakal meninggalkan kita, membawa pulang kembali segala tawaran-tawaran yang pernah ditawarkannya. Kalaulah manusia dapat mendengar laungan khas di bulan Ramadhan sepertimana yang dikhabarkan oleh Nabi S.A.W dalam hadisnya, “Ya baghiyal khairi aqbil, wa ya baghiyas sharri aqsir”, nescaya mereka akan berlumba-lumba mendapatkan kelebihannya, dan serta merta menghentikan segala perkara keji, mungkar dan maksiat. Maka beruntunglah bagi sesiapa merebut kelebihan-kelebihan itu, dan rugilah serugi-ruginya bagi mereka yang lalai dan alpa.

Ramadhan meninggalkan sekian banyak hikmah dan pengajaran. Bermula daripada ibadah puasa dan qiamnya, hinggalah kepada peristiwa-peristiwa besar yang berlaku dalamnya.

Salah satu daripada peristiwa besar tersebut ialah Fathu Makkah ataupun Pembukaan Makkah yang berlaku pada tahun kelapan hijrah. Pembukaan Makkah membawa erti kemerdekaan yang sebenar. Bukan sekadar memerdekakan tanahair, tapi memerdekakan jiwa fitrah setiap manusia daripada diperhambakan sesama manusia kepada memperhambakan diri kepada Allah, Tuhan semesta alam.

Benarlah kata-kata Rub’i bin ‘Amir ketika berhadapan Panglima Tentera Parsi, “Sesungguhnya Allah telah membangkitkan kami untuk mengeluarkan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada memperhambakan diri hanya kepada Allah Tuhan Yang maha Esa, daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat, dan daripada kezaliman ajaran-ajaran yang lain daripada Islam kepada keadilan Islam.”

Makkah dibebaskan oleh Rasulullah S.A.W bukan daripada penjajah asing, tapi daripada penjajah tempatan. Bangsa dan bahasa tutur kata mereka adalah sama. Bezanya ialah satu mahu berhempas pulas mempertahankan jahiliah, dan satu lagi mahu menegakkan kalimah tauhid. Mungkin akan ada yang berkata Rasulullah mengkhianati bangsa dan tanahair sendiri. Menyerang dan menakluk bangsanya. Tetapi apabila bangsa dan tanahair menjadi penghalang dalam rangka menegakkan kalimah Allah, maka semua itu secara automatik menjadi musuh yang mesti diberi pengajaran.

Apalah ertinya merdeka daripada penjajah asing, tetapi kemudiannya menjadi hamba kepada “penjajah tempatan” yang sama kulit dan bahasanya. Apalah ertinya merdeka apabila penjajah sudah dihalau, tetapi pemikiran penjajah masih lagi menjadi anutan dan ajarannya masih diamalkan.

Bukan mahu memperkecilkan jasa mereka yang telah memerdekakan tanahair tercinta ini, tetapi Islam telah mengajarkan erti kemerdekaan yang sebenar. Kemerdekaan membebaskan manusia daripada kegelapan jahiliah kepada cahaya Islam. Bukannya meruntuhkan jahiliah lama, kemudian membina jahiliah moden di atas runtuhan tersebut. Sebaliknya ialah meruntuhkan jahiliah dan membina kegemilangan Islam di atas runtuhan itu.

Semoga Allah swt menerima segala amalan kita sepanjang Ramadhan ini.

Bagi pihak PAS Puchong saya mengucapkan Selamat Menyambut Eidulfitri, maaf zahir dan batin, kepada semua umat Islam. Mudah-mudahan Allah S.W.T memberkati dan melimpahi kita semua dengan keampunan dan belas kasih daripada-Nya.

Salam hormat daripada saya;
MUHAMMAD SUFYAN ISMAIL YDP PAS PUCHONG
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .