Ikuti Blog ini

Cadangan kerajaan Umno/BN 'binkan' anak kepada bapa zina, sesat lagi menyesatkan

KUALA TERENGGANU - PAS menyifatkan cadangan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) membolehkan anak tidak sah taraf yang dilahirkan selepas pernikahan ibu bapa, didaftarkan dalam sijil kelahiran dengan bin atau binti bapa zina mereka adalah cadangan yang 'sesat' lagi 'menyesatkan'.

Menurut Timbalan Pesuruhjayanya, Dr Alias Razak, ia adalah akibat dari dasar kerajaan yang meninggalkan hukum Allah, al Quran dan as-Sunnah.

"mereka (Umno/BN) telah sesat dari jalan Allah (dan mahu) diselesaikan dengan cara yang lebih sesat, akhirnya akan membawa komplikasi yang lebih teruk,

"(ia adalah) akibat dari dasar kerajaan yang meninggalkan (hukum Allah) al-Quran dan as-Sunnah,"ujarnya ketika ditemui.

Beliau berkata, akhirnya akan membawa komplikasi yang lebih teruk iaitu akan menggalakan seks sebelum nikah iaitu zina, satu perkara yang sangat terkutuk dan merosakan institusi keluarga.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal berkata, tindakan itu merupakan mukaddimah yang ditaja oleh kerajaan Umno/BN untuk menghalalkan seks sebelum nikah dan zina.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan kerajaan Umno/BN tersebut bukan kes pertama, malah katanya, Umno/BN mengamalkan penyelesaian 'sesat' dalam kes sosial yang lain.

"ini bukan kes pertama Umno/BN amalkan penyelesaian (secara) sesat, menolak hukum Allah dan meninggalkan al-Quran dan sunnah,

"(sebelum ini) kes sosial yang lain termasuklah masalah dadah dan aids (diselesaikan) dengan kondom dan jarum percuma,"tegasnya.

Selain itu, katanya, Umno/BN juga menubuhkan sekolah khas untuk remaja mengandung luar nikah, melesenkan iaitu menghalalkan judi dan jualan arak, kononnya bagi memudahkan kawalan kepada masalah terbabit.

Justeru, beliau menyeru, seluruh rakyat Terengganu, khususnya orang Melayu yang berugama Islam suopaya menolak kerajaan Umno/BN Terengganu kerana mereka tidak lagi mampu menjaga kesucian ugama Islam dan menjaga keturunan manusia.

Dalam isu yang sama, sebagaimana di laporkan akhbar, Persatuan Peguam Syarie Malaysia membantah cadangan kerajaan Terengganu membolehkan anak tidak sah taraf didaftarkan dalam sijil kelahiran dengan bin atau binti bapa kerana membawa impak negatif dalam sosiologi masyarakat dan mencemar kesucian Islam.

Presidennya, Mohamad Isa Abd Ralip, berkata tindakan sedemikian berlawanan dengan hukum syarak kerana tercatat dalam undang-undang Enakmen Keluarga Islam anak tidak sah taraf hanya boleh dinasabkan kepada ibunya saja.

Masyarakat akan sewenang-wenangnya melakukan zina dan maksiat bermaharajalela kerana tiada kekangan sekali gus menggalakkan peningkatan bilangan anak luar nikah. Dari segi hukum, taraf berkenaan memberi kesan apabila melangsungkan perkahwinan kerana anak luar nikah tidak boleh berwalikan bapanya.

Ada sebab Allah tetapkan hukumnya. Mungkin menyenangkan dari aspek menyekolahkan anak dan menutup aib anak, namun hukum syarak tidak melihat pada individu sebaliknya keseluruhannya. Jika mahu dilaksanakan, seragamkan ia di seluruh negara, katanya kepada Berita Minggu, di sini, semalam.

Laporan baru-baru ini menyebut hasrat Terengganu mencadangkan mekanisme bagi membolehkan nama anak tidak sah taraf, iaitu anak dilahirkan selepas pernikahan ibu bapa berusia enam bulan dan kurang, didaftarkan dalam sijil kelahiran dengan bin atau binti bapa.

Difahamkan, ia tidak membabitkan pindaan akta Seksyen 13 Akta Pendaftaran Negara 1960 bagi membolehkan anak tidak sah taraf didaftarkan dalam sijil kelahiran dengan nama ayah, sebaliknya hanya memerlukan kelulusan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Sementara itu, pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datin Noor Aziah Awal, berkata cadangan mendaftarkan sijil kelahiran anak tidak sah taraf dengan bin atau binti bapa hanya akan menambah tekanan emosi kanak-kanak kerana ia umpama mendedahkan perkara berkenaan kepada umum secara terbuka.

Katanya, cadangan kerajaan Terengganu itu bukan jawapan tepat dalam menangani masalah tekanan emosi yang dihadapi anak tidak sah taraf, sebaliknya perlu mempertingkatkan kesedaran orang ramai bahawa anak tidak sah taraf itu tidak berdosa.

Beliau berkata, status anak tidak sah taraf sepatutnya hanya perlu diketahui oleh ibu bapa, anak dan pejabat agama saja kerana perkara berkenaan hanya akan berbangkit apabila anak berkenaan ingin bernikah atau menjadi wali kepada saudara perempuannya sekiranya bapa yang sepatutnya menjadi wali meninggal dunia. -BO
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .