Ikuti Blog ini

Pentadbiran berkebajikan Pakatan Rakyat untungkan rakyat..

Dasar Pakatan Rakyat memperkenalkan pentadbiran berkebajikan menguntungkan negara dan rakyat, kata Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz.
Menurutnya, pentadbiran bersih yang diamalkan Pakatan Rakyat khasnya di Selangor mencatat prestasi kewangan yang baik apabila berjaya menambah simpanan tunai sebanyak RM1.1 bilion.
“Pakatan Selangor baru perintah tiga tahun, namun berjaya menambah simpanan tunai sebanyak RM1.1 bilion dan menjadi rekod kewangan paling baik dalam tempoh 28 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau percaya kejayaan itu diperoleh hasil titik peluh, kesabaran dan komitmen bersama rakyat dan pimpinan Pakatan Rakyat Selangor.
“Dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) berjaya membuktikan agenda mengutamakan kebajikan rakyat membawa keuntungan berlipat ganda sekaligus membuktikan pengurusan cekap, telus dan amanah mampu memberi pulangan baik kepada rakyat dan negeri.
“Sementara ketirisan, pemborosan serta kepimpinan khianat merugikan kerajaan, negara dan rakyat,” katanya.
Di bawah pentadbiran Umno-BN selama lebih 50 tahun, wang rakyat dirompak dengan kekayaan negara hanya dinikmati segelintir kecil kroni yang rapat dengan pemerintah.
Negara mencatatkan rasuah dan ketirisan pada kadar yang tinggi iaitu sebanyak RM28 bilion setahun sepertimana didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.
Sementara RM24 bilion subsidi diberikan kepada sektor korporat termasuk penjana tenaga bebas yang memperoleh RM19 bilion setahun, berbanding RM11 bilion subsidi kepada rakyat yang cuba ditarik balik.
Justeru itu, Pakatan Rakyat memperkenalkan Buku Jingga, satu dokumen bersama yang menggariskan keutamaan dalam perbelanjaan negara dan menutup segala ketirisan dalam sistem kewangan negara.
Kejayaan tersebut terbukti berlaku di Selangor dan Pulau Pinang apabila kerajaan mempunyai lebihan pendapatan.
Buku Jingga turut menggariskan 10 program Pakatan Rakyat dalam masa 100 hari mentadbir negara ini, antaranya merombak struktur subsidi dan  menghapuskan tol.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .