Ikuti Blog ini

Penipuan Felda terhadap KPG; 2,000 peneroka saman RM1.5 bilion

KUALA TERENGGANU - Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) merakamkan ucapan syabas atas keberanian para peneroka di Felda Kertih 2 dan Kertih 3 yang membawa kes tuntutan wang caruman tanam semula ke Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Pengerusinya, Mazlan Aliman menyifatkan tuntutan saman terhadap pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang dibuat oleh 77 peneroka di Kertih 2 dan Kertih 3 merupakan kes pertama di Terengganu.

Menurutnya, kes tuntutan seumpama ini antara tujuh hingga lapan kes yang telah difailkan di mahkamah seluruh negara.

“Anak (Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan) merakamkan ucapan syabas dan terima kasih kepada barisan peguam kita yang bersedia membawa kes 77 peneroka Felda Kertih 2 dan Kertih 3 ke mahkamah.

“Ini (saman) merupakan kes yang pertama di negeri Terengganu. Ini antara tujuh hingga lapan kes seumpama ini pernah dibawa dan difail di mahkamah seluruh negara,” jelasnya.

Beliau berkata demikian di perkarangan Kompleks Mahkamah selepas menyertai hampir 100 orang termasuk para peneroka yang memfailkan saman terhadap Felda di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, 13 Oktober lalu.

Kata Mazlan, saman peneroka terhadap Felda yang menuntut wang caruman tanam semula tersebut telah dimenanginya dalam kes Felda Sungai Koyan di Pahang.

Menurutnya, para peneroka terbabit berhak mendapatkan wang tersebut yang dinafikan dengan pelbagai alasan oleh pihak pengurusan Felda.

“Mengikut semakan yang ada pada kita (Anak) untuk kes yang serupa tanam semula ini. Kes ini telah dimenangi melalui tuntutan yang dibuat oleh 10 orang peneroka di Felda Sungai Koyan, Pahang yang diwakili oleh peguam Hanifah Maidin.

“Bezanya di sana (Felda Sungai Koyan) keluasan tanah mereka (peneroka) 14 ekar dan mereka juga adalah bekas-bekas anggota tentera.

“Apa yang pasti ini (Felda Kertih 2 dan 3) adalah wang mereka yang dicarum RM4.00 bagi setiap ekar. Maknanya, RM40.00 bagi setiap 10 ekar. Sepatutnya, mereka telah lama dapat sebab anggaran caruman adalah 20 tahun,” ujarnya.

Menurutnya, ia tidak termasuk tuntutan lain yang akan dibuat dalam kes penipuan Felda terhadap Kadar Perahan Gred (KPG) di kilang-kilang kelapa sawit seluruh negara.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat menjelaskan sehingga kini seramai 2,000 orang peneroka diseluruh negara telah pun memfailkan saman penipuan KPG yang melibatkan kewangan sebanyak RM1.5 bilion.

"Sebagaimana dibuat di Bera Pahang, Serting Negeri Sembilan, di Muaakil Johor,  di Kemahang Kelantan, yang mengikut kiraan kasar kita,

"Sekarang ni jumlah saman (yang dibuat oleh) lebih daripada 2,000 (orang peneroka) untuk KPG sahaja tekah menjangkau RM1.5 bilion,"jelasnya.

Tuntutan saman oleh 77 orang peneroka Felda Kertih 2 dan Kertih 3 itu dikendalikan oleh Peguam Mohd Kamaruzaman Abd Wahab dari Firma Guaman Tetuan Aziz & Co kepada Pendaftar Mahkamah pada jam 9.15 pagi.

Hadir sama di mahkamah tersebut Timbalan Pesuruhjaya (I) dan (II) PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat dan Muhyiddin Abd Rashid, Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Hanafiah Mat dan Pengerusi NGO WARIS, Roslan Ismail. -BO


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .