Ikuti Blog ini

Surat ugutan PM menghina Dun: Dr Abdul Aziz

KOTA BHARU – Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan berkuasa mengenakan tindakan terhadap pihak yang menghina keputusan dewan itu seperti surat ugutan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap pelaksanaan hukum hudud pada 1994.

Pakar perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata, surat yang diterima Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat daripada Tun Mahathir itu mengugut dan ia menghina Dun.

“Kenapa tidak Kelantan membuat resolusi atau sesuatu bersesuaian Ordinan Dewan Rakyat kerana dia tidak boleh buat begitu. Dun Kelantan atau Parlimen mempunyai kuasa tertentu yang boleh menghukum sesiapa menghina dewan. Surat PM itu menghina dewan.

“Hendak beri amaran atau tindakan ia bergantung. Surat itu masih ada, elok Dun Kelantan buat sesuatu. Cara yang betul dari segi undang-undang jika tidak setuju kena pergi ke mahkamah. Walaupun seorang Perdana Menteri beliau kena hormat dewan negeri dan persekutuan. Dun adalah dewan berdaulat dan tidak boleh dihina seperti itu,” katanya ketika Wacana Pelaksanaan Hudud Kelantan di Dewan Teratai SUK di sini, semalam.

Selain beliau, wacana tertutup kepada pegawai Kerajaan Negeri itu turut dibarisi dua panelis lain yang juga penggubal Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993, Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Daud Mohamad dan Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan, Datuk Mohamad Daud Iraqi.

Pada 1993, Dun Kelantan meluluskan Enakmen Jenayah Syariah (II) Kelantan atau lebih dikenali sebagai Hudud Pas Kelantan. Bagi menunaikan janji manifesto Pas selepas memenangi pilihan raya umum di Kelantan pada 1990.

Berikutan keputusan itu, pada 1994, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir menghantar surat rasmi yang tidak membenarkan pelaksanaan hukum Islam itu di Kelantan kepada Nik Abdul Aziz.

Sementara itu, Dr Abdul Aziz turut memberikan penerangan lanjut mengenai Perlembagaan yang mana ia perlu ditafsirkan mengikut keadaan semasa kerana ada dalam kalangan peguam Islam yang memberikan gambaran Islam dalam skop sempit.

“Masalah kita sekarang terpaksa menangkis pihak tertentu yang tidak selesa dengan Islam. Jika meletakkan syarat yang bukan-bukan sebelum ia boleh dilaksanakan.

“Masyarakat tidak sabar dan penat dengan masalah ini, jadi jalankan dan buat (undang-undang Islam). Kita bukan mengharapkan sesuatu yang sempurna tapi laksana dulu kerana enakmen sudah ada agensi berkaitan boleh membantu,” katanya.[sinarharian]
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .