Ikuti Blog ini

Propaganda musuh terhenti, fokus kemungkaran BN

KUALA LUMPUR, 23 Dis: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) merasa yakin, polemik dalaman PAS yang dicipta oleh propaganda musuh sudah terhenti dan fokus rakyat kini terarah kepada semua kemungkaran yang dilakukan oleh kerajaan BN hari ini.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, media seperti mahu menimbulkan prejudis terhadap PAS dengan menimbulkan polemik yang sengaja direka-reka.

“Sebaliknya media mahu lensa rakyat melupakan isu-isu besar yang sedang melingkari negara ini seperti penyelewengan dana rakyat, penyalahgunaan kuasa, rasuah, krisis kepercayaan dalam parti pemerintah, serta polisi dan undang-undang yang membelenggu rakyat.
“Kesemua ini adalah isu yang perlu dihadapkan kerana melibatkan kepentingan rakyat yang lebih utama,” ujarnya.

Katanya, DPP Malaysia dan rakyat tentunya tidak sabar menunggu perubahan yang bakal dijelmakan dalam PRU ke 13 nanti bersama Pakatan Rakyat membina sebuah negara yang adil, aman dan sejahtera.

Sehubungan itu, ujarnya DPP Malaysia menghargai keikhlasan dan tekad yang ditunjukkan Ustaz Nasharudin Mat Isa yang bertegas mempertahankan Islam melalui PAS dengan tiada niat sedikitpun mahu menyertai Umno seperti yang ditohmah.

Bagi DPP Malaysia, tambahnya itu adalah satu contoh terbaik buat semua pendukung PAS betapa kentalnya iltizam yang ditunjukkan oleh bekas Timbalan Presiden PAS itu.

Menurutnya, meskipun difitnah dari pelbagai pihak, beliau masih tetap teguh berpegang kepada perjuangan PAS yang selama ini didukungnya, malah segala tohmahan yang dilemparkan tidak sedikitpun merencatkan perjuangan beliau.

“Sudah tentu kenyataan terbuka beliau untuk terus bersama dengan perjuangan Islam dalam PAS menyejukkan dan melegakan hati seluruh penyokong dan pendokong perjuangan Islam ini.
“Keperibadian yang tinggi ini adalah natijah dari proses tarbiyah yang ada dalam PAS selama ini,” katanya lagi.

Katanya, kejayaan proses tarbiyah PAS bukan menjadikan seseorang itu hebat penampilannya, lebih dari itu menjadikan akidah perjuangannya kental dan tidak mudah goyah walau apa pun ujian yang melanda.
Beliau menambah, proses tarbiyah PAS membina setiap diri ahli dan anggota berjiwa besar dalam menghadapi segala macam tribulasi.

Kerana itulah, ujarnya PAS terus bertahan sehingga sekarang meskipun diserang dari pelbagai penjuru dan ruang.

Justeru, tegasnya DPP Malaysia menganggap semua tohmahan terhadap Nasharudin merupakan mainan media yang mahu melaga-lagakan perpaduan yang kukuh dan ukhwah yang erat di kalangan pemimpin PAS. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .