KUALA LUMPUR, 24 Dis: Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor  Datuk Dr Hasan Ali hari ini mengakui kesilapannya mengkritik pendekatan  Negara Berkebajikan yang mahu dibawa PAS seperti diputuskan dalam  Muktamar tahunan parti itu Jun lalu.
Ekoran  itu juga, beliau yang juga exco kerajaan Selangor pada satu sidang  media di kediamannya hari ini menarik balik kritikannya itu dan memohon  maaf kepada pimpinan dan ahli parti.
“Sebagai ahli PAS dan ahli  jawatankuasa kerja PAS pusat, saya mengakui terdapat unsur keterlanjuran  saya waktu membuat ulasan mengenai perkara itu. Dengan ini saya menarik  balik komen mengenai Negara Berkebajikan tersebut.
“Saya memohon  maaf kepada saf kepimpinan dan ahli-ahli parti terhadap keterlanjuran  saya itu,” katanya pada sidang media di kediamannya di sini.
Sebelum  ini pada satu sidang medianya juga, beliau mendakwa perjuangan PAS  sudah menyimpang apabila mengangkat Negara Berkebajikan berbanding  Negara Islam sejak sekian lama.
Sehubungan itu beliau menolak  konsep Negara Berkebajikan dan mendesak parti itu kembali kepada  matlamat asal menubuhkan sebuah negara Islam.
Mengakui ulasannya  sebelum ini sebagai terlanjur kata, Hassan hari ini juga menyatakan  pendirian bahawa beliau bersetuju dengan konsep Negara Berkebajikan yang  diperjuang PAS kerana sebahagian dari initipati dan matlamat ke arah  menubuhkan sebuah negara Islam.
“Saya sebagai ahli dan pimpinan,  saya menyetujui apa yang dikemukakan dan pada masa sama saya melihat  pengisian Negara Berkebajikan sama seperti negara Islam yang dikemukakan  parti sebelum ini.
“Kemungkinan besar sama apa yang ada dalam konteks negara Islam dengan Negara Berkebajikan,” katanya.
Sementara  itu, Hasan juga berkata beliau bersedia bertemu kepimpinan parti  bila-bila masa bagi merungkai permasalahan yang timbul yang turut  mengaitkan dirinya. -Hrkh

