Ikuti Blog ini

Selamatkan negara dari bankrap!

HULU TERENGGANU - PAS mengingatkan rakyat terutama kepada para pengundi agar tidak menyerahkan negara kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) hingga menjadi bankrap

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata menurut Menteri kerajaan BN di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Idris Jala, Malaysia akan ‘bankrap’ tahun 2019

“Idris Jala (menteri) mengatakan Malaysia ‘bankrap’ tahun 2019, ada ahli ekonomi lain mengatakan Malaysia bankrap tahun 2015.

“Saya merayu kepada tuan-tuan malam ini, jangan masa Malaysia bankrap baru hendak beri negeri ini kepada kami. Kami tidak mahu, jika hendak beri tahun depan (2012) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

“Negara kita (Malaysia) memang diambang bankrap. Tujuh tahun lalu hutang negara RM7 bilion dan tahun ini (2011) sudah RM400 bilion. Jika tujuh tahun lagi hutang negara naik 100 peratus, Malaysia akan bankrap,” ujarnya.

Oleh itu, katanya, rakyat perlu menyelamatkan negara sebelum menjadi bankrap dengan menolak Umno dan BN dalam pilihan raya akan datang.

Mohamad berkata demikian ketika berucap pada majlis Ceramah Gempur Pilihan Raya anjuran Majlis Tindakan Dun (MTD) Manir, di Pekan Manir, pada Jumaat 2 Disember (gambar).

Menurutnya, Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) kini sedar PAS dan Pakatan Rakyat semakin hampir menuju ke Putrajaya.

Beliau menegaskan, Umno-BN akan menggunakan pelbagai cara bagi mengekalkan serta mempertahankan kekuasaanya.

“Umno tahu kita (Pakatan Rakyat) hendak menuju ke Putrajaya semakin dekat. Saya tengok sokongan anak-anak muda di Terengganu, saya yakin Terengganu kita (PAS) mampu dapat perintah kembali dalam pilihan raya akan datang, Insya’Allah.

“Sebelum negara ini bankrap, kita selamatkan dalam pilihan raya akan datang. Negeri Terengganu kita kembalikan kepada PAS. Putrajaya kita ambil alih, Insya’Allah kita selamatkan Malaysia dari bankrap,” tegasnya.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri Kelantan, Dato’ Nik Mohd Amar Nik Abdullah, Timbalan Pesuruhjaya (II) PAS Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid dan Pengerusi DHPP Terengganu, Dr Bala Chandran. -BO
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .