Ikuti Blog ini

Tragedi UPSI: PAS Minta Ketua Polis Perak Bersikap Matang

Shukri perlu matang, jangan berfikiran sempit

KUALA LUMPUR : Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar kanan) menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Perak, Timbalan Komisioner Datuk Mohd Shukri Dahlan (gambar kiri) yang memberitahu bahawa kecederaan mahasiswa sewaktu Himpunan Menuntut Kebebasan Berakademik (Bebas) disebabkan oleh dirinya sendiri adalah tidak rasional.

Beliau yang dihubungi memberitahu sepatutnya Shukri perlu bersikap matang, bukannya berfikiran sempit, yang mana memang wujud keganasan dilakukan oleh pihak polis.

"Saya rasakan sebagai Ketua Polis Perak, beliau sepatutnya bersikap matang dan berfikiran rasional sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Memang jelas wujud keganasan yang dilakukan oleh pihak polis, malah ia disahkan dengan kenyataan oleh mahasiswa terhadap apa yang berlaku," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Tambahnya lagi, jika Shukri tidak dapat berfikir secara rasional dalam membuat keputusan, maka beliau sepatutnya diberi rawatan khusus.

"Saya rasakan beliau harus diberikan rawatan khusus jika cara pemikiran sedemikian.

"Kita tidak mahu pihak berkuasa khususnya polis melepaskan kesalahan mereka dengan meletak kepada orang lain.

"Malah sebelum ini pun telah ada kenyataan dari Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bahawa telah ada wujud keganasan dari pihak polis," sambungnya lagi.

Sementara itu, polis dilaporkan menafikan dakwaan memukul beberapa aktivis mahasiswa semasa menghuraikan demonstrasi aman di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), menegaskan tiada pergelutan berlaku apabila tangkapan dibuat.

Shukri berkata, tindakan perlu diambil demi keselamatan awam dan salah seorang mahasiswa tercedera sendiri. -Hrkh

Peguam pertikai penafian polis sebelum siasatan


Penafian polis Perak bahawa anggotanya mengasari mahasiswa dalam perhimpunan di Tanjung Malim semalam bersifat "prejudis" kerana ia dibuat sebelum siasatan dijalankan, kata peguam kepada mahasiswa yang tercedera Muhamad Safwan Anang.


Sedangkan, menurut Mohd Khairuddin Othman, kenyataan anak guamnya hanya dirakam pada jam 1 petang hari ini.


Bercakap kepada pemberita selepas Safwan dibenarkan keluar daripada Hospital Slim River, beliau berkata pihaknya kini sedia bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap polis ekoran insiden itu.


Setakat ini, dakwanya, terdapat bukti menunjukkan bahawa terdapat kekerasan berlebihan digunakan untuk menyiraikan perhimpunan prokebebasan akademik di Universi Pendidikan Sultan Idris (UPSI). -M'kini
Klip video bukti polis tak kasar


TANJUNG MALIM: Polis mempunyai bukti termasuk rakaman video yang menunjukkan mereka tidak menggunakan kekerasan ketika menyuraikan demonstrasi haram di depan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), awal pagi kelmarin dan akan mendedahkannya kepada umum jika keadaan memaksa.


Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata pihaknya juga akan menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat dakwaan polis bertindak ganas terhadap pelajar seperti disebarkan blog dan portal berita yang dianggapnya cubaan menjejaskan imej pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).


“Kita mempunyai rakaman video selain saksi bagi membuktikan polis tidak melakukan keganasan. Polis melakukan tugas mereka seperti biasa kecuali ada pihak yang enggan memberi kerjasama, kita terpaksa bertindak tegas.


“Jika ada laporan dibuat mengatakan polis bertindak ganas sehingga mencederakan individu (yang terbabit dalam perhimpunan haram), kita akan menjalankan siasatan serta mengumpulkan bukti yang diperlukan,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Beliau mengulas penahanan 17 mahasiswa, termasuk seorang penuntut wanita kerana menyertai demonstrasi haram anjuran kumpulan penuntut Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) selepas sambutan Ambang Tahun Baru 2012 di UPSI dengan mengusung keranda, baring di atas jalan, selain cuba memanjat pagar kampus UPSI, awal pagi kelmarin.


Berikutan insiden itu, beberapa blog dan portal berita mendakwa polis bertindak ganas sehingga mencederakan penuntut yang menyertai perhimpunan berkenaan, termasuk Pengerusi Badan Mahasiswa Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS), Safwan Anang.


Mohd Shukri berkata, pihaknya bersedia mengemukakan bukti, termasuk rakaman video dan laporan perubatan hospital berhubung kecederaan dialami pelajar ketika menyertai perhimpunan haram itu.


“Sekiranya dakwaan yang dibuat palsu, kira akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan tuduhan memfitnah pasukan keselamatan itu tanpa usul periksa tidak lagi berulang,” katanya. -BH
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .