Ikuti Blog ini

Aziz Desa berhijrah ke Kelantan


KOTA BHARU, 16 Feb: Jarang orang tidak mengenali siapa Aziz Desa, seorang pengacara yang petah bercakap. Wajahnya sering dilihat di kaca-kaca televisyen. Malah masih lagi boleh disaksikan di TV9.

Namun agak mengejutkan apabila sekarang beliau berkhidmat di Kelantan Trade Centre (KTC), anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO).

Sebelum menyertai TV9, Aziz pernah menjadi Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Junid.

Semalam kenyataan medianya difaks kepada media-media tempatan bagi memaklumkan tugas barunya  di KTC.

“Atas sokongan rakan rakan fb, saya terima cabaran berkhidmat di Kota Bharu. Bermula semalam saya kini adalah ketua pegawai operasi (COO) Kelantan Trade Centre Hotel, Apartment & Convention Sdn Bhd.

“Saya juga masih dalam kontrak dengan TV9 dan akan bersiaran dari masa ke semasa apabila diperlukan. Dari langkawi ke Kota Bharu, selamat pagi, sekadar makluman pemberitahu,” katanya, dipetik dalam facebooknya.

Dalam kenyataan medianya semalam beliau berkata, KTC mensasarkan 76 acara bertaraf nasional dan antarabangsa sempena Tahun Melawat Kelantan (TMK@12) tahun ini.

Katanya, selain inisiatif sendiri, penganjuran acara sempena TMK@12 akan dibuat dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, agensi kerajaan pusat dan swasta.

Kata beliau KTC mempunyai dewan pameran dan konvensyen seluas 1,200 meter persegi, boleh memuatkan 58 ruang niaga berukuran 3 x 3 meter dan menampung 1,500 tempat duduk.

Sasaran jumlah acara juga sempena memperingati 76 tahun pengisytiharan Bandar Kota Bharu oleh Sultan Muhammad ke-ll pada 1936.

“Antara program yang bakal diadakan Fiesta Kerana Kelapa, Karnival Budaya Iqra’, Fiesta Kanak-Kanak, Pameran Haiwan Peliharaan, Seminar Perubatan dan Rawatan al-Quran,” ujarnya.

Selain itu Pekan Batik, Ekspo Kraftangan, Fantasia Bulan Madu, Ekspo Pengantin Muslim, Ekspo Wakaf Che Yeh, Apresiasi Filem Ketuhanan dan Kemanusiaan dan Karnival Pelancongan Budjet juga akan diperkenalkan.

Ruang niaga yang masih berbaki ditawar kepada sesiapa yang berminat. Maklumat lanjut boleh hubungi talian 09-7471222. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .