Ikuti Blog ini

Jabatan Amal Kebanggaan PAS

MARANG -  Unit Amal yang telah ditubuhkan kira-kira 20 tahun lalu, hari ini semakin mengorak langkah megah sebagai sebuah pasukan sukarela yang disegani lawan dan kawan. Hal ini dapat dilihat dengan pengiktirafan orang ramai terhadap badan sukarela itu menunjukkan kumpulan ini semakin diterima masyarakat.

Jika dahulu berpakaian hijau tetapi sekarang dengan pakaian merah hati, beserta beret ala komando, mereka gagah melangkah ditengah-tengah masyarakat apabila ada sesuatu bencana atau keadaan yang memerlukan tenaga sukarela.
Dek kerana tugasan yang semakin mencabar dan memerlukan tenaga yang lebih ramai, maka Unit Amal kemudiannya telah ditukar kepada Jabatan Amal.

Lihat sahaja sumbangan besar mereka dalam beberapa pehimpunan yang besar, tugas mereka jelas membantu pasukan keselamatan awam bagi mengawal keadaan.

Begitu juga dalam peristiwa banjir besar seperti di Johor, Perlis dan boleh dikatakan seluruh negara mereka akan memberikan sumbangan mereka yang tidak sedikit.

Malah ramai diantara mereka juga telah menyumbang tenaga sukarela mereka sehingga ke peringkat antarbangsa.

Bertolak atas dasar ingin mengajak lebih ramai lagi orang ramai untuk turut serta bersama mereka, Jabatan Amal Marang semalam telah mengadakan satu majlis bagi mengenang jasa bekas-bekas ahli Jabatan Amal Marang.

Menurut ketuanya saudara Abu Dardaa Mohammad (kiri), majlis ini adalah sebagai satu cara bagi mengenang budi dan jasa bekas-bekas ahli Unit Amal Marang.

Ianya juga sebagai satu langkah untuk mengajak orang ramai agar turut serta bersama Unit Amal dalam membantu masyarakat yang memerlukan bantuan.

Majlis yang diadakan berhampiran Sekolah Rendah Kedai Buloh itu, diserikan dengan kehadiran wakil rakyat Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Dalam ucapannya, Ustaz Mohd Nor (kiri) memuji Jabatan Amal sebagai golongan yang sedia memberikan khidmat secara ikhlas kepada masyarakat tanpa ada apa-apa ganjaran menarik.

Mengimbau kembali kisah lama, beliau berkata semangat itu telah memberikannya motivasi yang tinggi untuk turut serta bersama Jabatan Amal ketika beliau masih remaja.

“Saya sanggup panjat pagar KUSZA semata-mata nak turut serta dengan mereka dalam jambori Unit Amal di Pantai Tok Jembal pada awal tahun 90-an dulu.

Walaupun KUSZA ketika itu mengamalkan disiplin yang kuat untuk tidak membenarkan pelajar-pelajarnya keluar bukan pada waktunya, tapi saya tak kisah kalau dikenakan tindakan displin, semata-mata ingin bersama Unit Amal,” ujarnya sambil tersenyum.

Beliau seterusnya menyeru masyarakat setempat agar turut serta dalam Jabatan Amal ini agar jabatan ini dapat diperkuatkan lagi fungsinya.

Turut serta dalam majlis itu semalam ialah bekas-bekas ketua Jabatan Amal Marang manakala bekas ketua Unit Amal Malaysia Cikgu Hussin Ismail yang turut dijemput, tidak dapat hadir kerana berada di luar negara.

Majlis diakhiri dengan acara penyampaian cenderahati kepada bekas-bekas ketua Jabatan Amal Marang sebagai tanda terima kasih atas jasa-jasa mereka. -BO
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .