Ikuti Blog ini

Politik Malaysia politik ala-mafia?

KUALA TERENGGANU - Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfoz Omar menggesa pihak berkuasa polis bertindak secara profesional menangani masalah politik ala-mafia yang disifatkannya sedang meresap dalam politik Malaysia

Kes yang menimpa Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor Dzulkefly Ahmad melibatkan kebakaran kereta dan sebahagian rumahnya, menurut Mahfoz, adalah contoh politik ala-mafia.

Sebelum itu, kata Mahfoz, telah berlaku beberapa kejadian letupan serta provokasi melampau yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab seperti kes sewaktu pembebesan Anwar Ibrahim dan kepala babi di masjid.

“Saya hendak minta polis bertindak segera secara yang lebih profesional dengan apa yang berlaku membabitkan rumah kediaman Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Dzulkefly Ahmad.

“Ianya membabitkan kereta BMW rosak teruk terbakar dan sebahagian dari rumahnya juga terbakar.

“Saya lihat sekarang ini politik Malaysia telah diresapi oleh politik ala-mafia. Polis kena ambil perhatian kerana sebelum ini berlaku letupan di luar Mahkamah Jalan Duta dalam kes penghakiman Anwar Ibrahim,” ujarnya pada sidang media selepas Forum Kepenggunaan ‘Kenaikan Harga Barang Rakyat Tanggung Bahana’ di Markaz Tarbiyyah PAS Kawasan Kuala Terengganu, 4 Februari lalu.

Menurutnya, tindakan politik ala-mafia tersebut amat membimbangkan masyarakat bahawa polis gagal menjamin keselamatan pemimpin-pemimpin politik negara.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkeyakinan tragedi yang menimpa Dzulkefly bermotif politik berikutan kelantangan pemimpin itu membongkar penyelewengan kerajaan di Johor.

“Saya percaya ada kaitan politik kerana dia tidak ada musuh dalam perniagaan kerana dia seorang ahli perniagaan yang berjaya, dia tidak ada musuh dalam perniagaan kerana dia tidak pernah dapat projek-projek kerajaan.

“Dia (Dzulkefly) sering kali membangkitkan isu-isu penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa kerajaan negeri Johor. Ini mungkin ada pihak yang terasa bahawa isu yang dibuat pendedahan itu amat menekan mereka,” ujarnya.

Selain itu, katanya ada pihak yang cuba melakukan provokasi melampau bagi mencetuskan ketegangan kaum dan agama di negara ini.

Menurutnya, isu kepala babi yang dibuang ke dalam masjid bertujuan menajamkan politik perkauman dan keagamaan.

“Ini semua ke arah untuk hendak melakukan provokasi. Dalam kes kepala babi ini untuk menajamkan politik perkauman dan keagamaan. Ini sangat bahaya dan boleh mencetuskan porak-peranda dan huru-hara dalam negara kita.

“Sebab itu, saya minta rakyat bersabar untuk melihat inilah kesan daripada politik yang keterlaluan yang melampau, yang dibawa oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab di negara kita sehingga mengancam keselamatan negara.

“Polis harus bertindak secara bijaksana dan profesional untuk menyegerakan penyiasatan dan tangkapan,” tegasnya.  

Hadir sama pada sidang media tersebut Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS Terengganu, Dr Azman Ibrahim. -BO


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .