Ikuti Blog ini

Saham Lynas menjunam selepas Himpunan Hijau

KUALA LUMPUR, 29 Feb: Harga saham operator kilang rare-earth Lynas yang berpusat di Australia menjunam Isnin lalu akibat Himpunan Hijau 2.0 di Kuantan dan bandar-bandar lain yang berkempen untuk kilangnya di Gebeng ditutup serta saman mencabar keputusan pemberian lesen operasi sementara (TOL) kepada Lynas Malaysia Sdn. Bhd.

Saham Lynas, yang disenaraikan di Australian Securities Exchange ditutup 4.65 peratus lebih rendah pada A$1.23 Isnin lalu selepas berita saman oleh 10 penduduk Gebeng mencabar keputusan pemberian lesen operasi sementara kepada Lynas Malaysia Sdn. Bhd.

Dalam permohonan itu, mereka memohon satu perintah certiorari supaya mahkamah membatalkan keputusan lembaga itu pada 30 Jan lalu, memberikan lesen operasi sementara kepada Lynas Malaysia untuk menjalankan operasi di tapak Loji Lynas Advanced, di Gebeng.

Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) iaitu yang mengawal dan menyelia produksi, aplikasi dan penggunaan bahan tenaga atom dan radioaktif, Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekitar dan Lynas Malaysia Sdn Bhd telah dinamakan sebagai responden.

Awal bulan ini,  AELB telah memberikan lesen operasi sementara kepada Lynas untuk beroperasi di Gebeng walaupun dibantah keras oleh rakyat Malaysia. Akibat itu, harga saham naik mendadak ke A$1.59.

Walaupun ditentang hebat daripada penduduk sekitar dan rakyat Malaysia yang bimbang terhadap sisa radioaktif yang bakal ditinggalkannya, Lynas tetap yakin bahawa kilangnya di Malaysia tidak akan ditutup.

“Walaupun Lynas menghormati kebimbangan penduduk dan masyarakat tempatan, namun ia tidak percaya kepada dakwaan yang tidak berasas dalam saman tersebut. Lynas akan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk mempertahankan haknya seperti yang dituntut dalam saman tersebut,” kata syarikat itu yang dipetik daripada The Australian.

Tindakan kerajaan Malaysia untuk mengemukakan bantahan awal terhadap saman 10 wakil dari Gebeng semalam telah memberikan signal bahawa kerajaan Umno-BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak akan mempertahankan Lynas.

Sejurus selepas Himpunan Hijau Ahad lalu, Najib bertegas mempertahankan Lynas dengan menyatakan bahawa “dari segi fakta, dari segi scientific evidence projek Lynas ini tidak akan membawa kemudaratan kepada masyarakat.”

Ekoran bantahan kerajaan Malaysia, Mahkamah Tertinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) di sini menetapkan 20 Mac untuk 10 penduduk Gebeng menjawab hujahan bantahan awal yang dikemukakan oleh kerajaan Najib.

Cara pelupusan bahan sisa radioaktif telah menjadi isu utama dalam bantahan kepada projek Lynas. Bulan lepas, Lynas telah membuat iklan di akhbar-akhbar tempatan untuk menyakinkan penduduk tempatan terhadap keselamatan kilangnya. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .