Ikuti Blog ini

Syirik - Dosa Yang Tidak Diampunkan Allah



PUM: Islam larang sertai upacara bertentangan aqidah

Semua pihak khususnya umat Islam diminta lebih prihatin dan mengambil perhatian berat dalam isu-isu pembabitan orang Islam dalam sambutan atau upacara keagamaan masyarkat bukan Islam kerana ia mempunyai hubungkait dengan aqidah, kata Persatuan Ulama Malaysia (PUM).

Menurut setiausaha agungnya, Dr Mohd Roslan Mohd Nor, persatuan itu berpandangan isu berkaitan pembabitan orang Islam dalam sambutan perayaan agama bukan Islam sepatutnya selesai jika semua pihak merujuk dan mengikut Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-68 yang telah bersidang pada 12 April 2005.

“Antara kriteria yang ditetapkan ialah majlis tersebut mestilah tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan aqidah Islam.

“Adalah amat jelas jika upacara sambutan perayaan bukan Islam mempunyai acara ritual keagamaan bukan Islam, umat Islam tidak boleh menyertai acara tersebut kerana boleh menjejaskan aqidah Islam,” katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

Menurut Mohd Roslan panduan yang boleh diakses melalui laman web rasmi e-fatwa Jakim jelas menyatakan bahawa beberapa kriteria utama perlulah dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Walaupun tidak menyebut secara lansung, kenyataan PUM itu dipercayai ada kaitan dengan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak yang menghadiri majlis sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves pada 7 Februari lalu.

Akur pandangan mufti

Beliau yang lengkap berpakaian kurta berwarna kuning muda sambil ditemani isterinya Datin Seri Rosmah Mansor terus mengundang pelbagai bidasan, termasuk dari Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang melahirkan rasa terkilan dengan sikap perdana menteri yang didakwa “menggadai akidah”.

Pada acara Thaipusam tahun ini, gambar perdana menteri juga didirikan setinggi patung berhala di Batu Caves dan pasangan itu dipakaikan kalungan bunga yang amat besar.

Menurut PUM, semua pihak yang berautoriti dan mempunyai bidang kuasa agama termasuklah eksekutif, institusi mufti, penasihat agama, agensi agama persekutuan dan negeri, perlulah menyalurkan nasihat dan pandangan yang betul kepada semua pemimpin di negara ini.

“Pada masa yang sama, seluruh pemimpin yang beragama Islam dinasihatkan supaya akur dengan pandangan ahli agama tersebut,” kata Mohd Roslan.

Beliau juga menggesa para pemimpin dan masyakarat bukan Islam supaya turut sama memahami serta menghormati prinsip teras Islam ini yang menjadi pegangan umat Islam.


“Pendirian teras ini adalah sebahagian daripada kehendak ajaran agama Islam,” katanya sambil menambah semua pihak termasuk para pemimpin serta masyarakat awam supaya lebih sensitif dengan apa jua isu agama khususnya melibatkan aqidah serta syariat Islam.

Sebelum ini, perdana menteri terdahulu, termasuk Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr Mahathir Mohamad masing-masing menghantar wakil ke sambutan Thaipusam. -mk

Ulasan GB

Inilah masalah yang berlaku di dalam negara kita apabila mempunyai pemimpin yang jahil terhadap agamanya, kemudian malas untuk membaca panduan dari Ilahi iaitu Al-Quran ditambah pula dengan melimpahnya ulamak us-suuq (ulamak jahat) yang gilakan pangkat, harta dan kuasa, enggan untuk menegur dan menasiahti pemimpin berkenaan.

Sedangkan gejala yang berlaku bukan perkara kecil. Ia adalah termasuk di dalam lingkungan boleh "menggadai akidah" iaitu SYIRIK.

Allah s.w.t telah berfirman bahawa Dia mengampun dosa-dosa yang lain tetapi tidak dosa syirik.



إِنَّ اللّهَ لاَ يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَن يَشَاءُ وَمَن يُشْرِكْ بِاللّهِ فَقَدِ افْتَرَى إِثْماً عَظِيماً


“Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepadanya dan Allah akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain dari dosa syirik. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.” – (Surah an-Nisa’, ayat 48)

Dalam surah yang sama, ayat 116, Allah mengulangi kembali dosa besar syirik melalui firman-Nya yang bermaksud: “Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepadanya dan Allah akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain dari dosa syirik. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya.”

Dalam surah Luqman, Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya syirik itu adalah satu kezaliman yang amat besar.” – (Surah Luqman, ayat 13) -GB

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .