Ikuti Blog ini

8 Mac bukti rakyat mampu tumbangkan kerajaan zalim

KUALA LUMPUR : Tanggal 8 Mac, 2008 merupakan tarikh keramat dalam sejarah politik tanahair, apabila gabungan pembangkang, yang terdiri daripada KEADILAN, Pas dan Dap, memenangi lima negeri dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12.

Buat kali pertama dalam sejarah, Pakatan Rakyat berjaya mengenepikan majoriti dua pertiga kerusi Barisan Nasional di parlimen, dengan menguasai 82 kerusi parlimen manakala BN pula hanya berjaya mempertahankan 140 kerusi.

Keputusan PRU pada ketika itu menyaksikan pembangkang menawan Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Kedah, selain mempertahankan Kelantan di bawah pentadbiran Pas.

Di Wilayah Persekutuan pula, pembangkang menyapu 10 daripada 11 kerusi parlimen yang dipertandingkan.

Selain Wilayah Persekutuan, lebih mengejutkan di kalangan penganalisis politik ialah kegagalan BN mempertahankan Selangor dan Pulau Pinang- dua negeri maju di Malaysia.

Kejutan keputusan PRU pada 8 Mac, yang dianggap oleh ramai pemerhati politik sebagai ‘Tsunami politik’ , memberikan tamparan hebat kepada Umno-BN.

Bagi Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, tanggal 8 Mac telah mengubah lanskap politik negara dan membuktikan rakyat mampu untuk menumbangkan sesebuah kerajaan yang zalim.

Izzah merupakan calon KEADILAN yang pertama kali memenangi kerusi parlimen di Lembah Pantai, apabila berjaya menewaskan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam pilihan raya itu.

“Ulang tahun 8 Mac yang genap empat tahun hari ini membuktikan rakyat mampu mengubah dan menumbangkan kerajaan zalim yang menindas hak mereka.

“Malah, dengan kuasa mereka jugalah akhirnya tiga parti berbeza ideologi, namun memiliki keunikan bergabung membentuk Pakatan Rakyat sebagai kerajaan menunggu untuk memimpin Putrajaya selepas ini,” katanya.

Manakala Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Malaysia, Dr Dzulkefly Ahmad pula berkata, meskipun baru memenangi beberapa negeri, BN sangat gelabah dengan dasar yang dilaksanakan Pakatan Rakyat.

“Pakatan melaksanakan pelbagai dasar kebajikan untuk rakyat, bukan setakat kita janji, malah sudah laksana di negeri yang kita tadbir.

“Misalnya Gaji minima RM1,500, kita laksana di Selangor, dalam keadaan kerajaan persekutuan pimpinan Datuk Seri Najib Razak terkial-kial menetapkannya,” kata beliau.

Menurutnya, di Selangor, pentadbiran Pakatan Rakyat memperkenalkan Dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor, dengan pemerintahan telus dan beramanah.

“Maksudnya, kami menghargai setiap sen wang rakyat.

“Semakin tinggi hasil negeri semakin banyak jugalah wang akan kita kembalikan terus kepada rakyat,” katanya sambil menambah rizab tunai Selangor kini berjumlah RM1.9 bilion di bawah pentadbiran Pakatan.

Sementara itu, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua Kiam Wee berkata, Umno-BN tidak belajar dari Tsunami pada 8 Mac, apabila kerajaan Persekutuan yang kini dipimpin Najib masih mengekalkan pentadbiran korup.

Beliau memberikan contoh skandal Pusat Fidlot Kebangsaan yang dimiliki oleh keluarga menteri, Datuk Seri Shahrizat Jalil, menyalahgunakan dana RM250 juta yang sehingga kini gagal ditangani Najib.

“Malah Najib sendiri didakwa terlibat dalam skandal ini di mana beliau merupakan pengerusi jawatankuasa berimpak tinggi semasa projek ini diluluskan.

Justeru itu, katanya, beliau menyeru rakyat memastikan undi mereka hanya untuk Pakatan Rakyat pada PRU kali ini bagi menyelamatkan wang rakyat dari terus dibazirkan Umno BN yang sudahpun diberi peluang lebih 50 tahun memerintah.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .