Ikuti Blog ini

Rumah Mazlan Aliman Pula Disimbah Cat Merah



Rumah AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman di Felda Ramun, Kulai, Johor disimbah cat merah oleh individu tidak dikenali, awal pagi tadi.

Mazlan berkata, perbuatan khianat itu disedari oleh isterinya yang belum tidur kira-kira jam 3.00 pagi tadi.

Isterinya mendengar derap tapak kaki di luar rumah dan mengejutkan beliau yang baru melelapkan mata.

Apabila mereka keluar melihat apa yang berlaku kira-kira lima minit kemudian, didapati bahagian beranda dan kaki lima rumah telah disimbah cat merah.

"Malam tadi saya ada ceramah dan pulang ke rumah agak lewat.

"Dalam jam tiga pagi, saya baru terlelap, dan isteri saya belum tidur lagi.

"Dia terbau cat yang kuat dan terus kejutkan saya. Apabila kami tengok di luar rumah, bahagian beranda dan kaki lima dikotori cat merah (gambar) tapi kejadian itu berlaku sangat pantas," kata beliau kepada Harakahdaily pagi ini.

Sehubungan itu, beliau akan membuat laporan polis hari ini berhubung kejadian itu.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat bagaimanapun yakin perbuatan khianat itu dilakukan oleh pihak yang tidak senang dengan perjuangannya dalam isu tanah dan Felda.

"Saya yakin ini merupakan satu usaha untuk menakutkan-nakutkan saya tapi saya tak gentar.

"Saya dah berada dalam PAS selama 30 tahun dan sudah hadapi macam-macam. InsyaAllah saya boleh hadapi semua ini dan memberi semangat kepada saya untuk terus perjuangkan hak rakyat," kata beliau yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).

Tambah beliau lagi, perbuatan itu juga dilakukan menjelang Himpunan Tanah Rakyat di Plaza Angsana, Johor Bharu 5 Mei depan.

"Kita akan adakan himpunan tanah besar-besaran dan kita sudah buat roadshow ke seluruh tempat dan dedahkan perkara-perkara berkaitan isu tanah.

"Kita dedahkan bagaimana pemimpin Umno ada tanah yang banyak sedangkan rakyat yang buat permohonan 40 tahun tak dapat-dapat.

"Mungkin perbuatan ini untuk menggagalkan usaha kita memberi maklumat kepada rakyat," katanya. -Hrkh


KENYATAAN MEDIA
Rabu 25hb April 2012


Rumah Pengerusi Tanah Disimbah Cat

Gabungan Tanah Rakyat (TANAH) cukup kesal dengan pihak-pihak tertentu yang cuba mengancam dengan menyimbah cat berwarna merah di rumah Pengerusi TANAH yang juga Presiden (Persatuan Anak-anak Peneroka Generasi Kedua) ANAK, Sdr Mazlan Aliman. Kejadian ini disedari oleh isteri Sdr Mazlan pada jam 3.30 pagi selepas beliau balik daripada suatu program ceramah di Parit Sulong. Isteri beliau terhidu bau cat minyak di bekalang rumahnya di Felda Bukit Ramon, Kulai Johor.

Kejadian ini merupakan kejadian ketiga berlaku dalam tempoh masa 1 minggu di Negeri Johor. Pertama berlaku pada 19hb April di Markaz PAS Air Merah, Mersing dan keduanya pada 22hb April 2012 di kedai makan Setiausaha Persatuan Anak Pengerang(PAP), Saudara Azhar Mansor dan kejadian ketiga berlaku di rumah Sdr Mazlan Aliman pada awal pagi 24hb April 2012.

Perbuatan tidak bermoral ini berkemungkinan ada kaitan dengan cadangan TANAH yang akan menganjurkan suatu Himpunan Tanah Rakyat pada 5-5-2012 jam 2.00 petang di Plaza Angsana, Johor Bahru. Antara tuntutan TANAH adalah menuntut kembali Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, menyiasat penyerahan tanah KTM Tg. Pagar, menghentikan pengurniaan Tanah kepada KPRJ/Kroni dan merampas tanah penyeleweng.

Semalam Sdr Mazlan Aliman dalam kenyataannya kepada media akan menurunkan 10 ribu ahli dan penyokong-penyokong TANAH ke Dataran Merdeka pada sabtu 28hb April 2012 sebagai tanda sokongan TANAH kepada Himpunan Bersih 3.0. TANAH akan bekumpul di Menara Maybank jam 1.30 petang kemudian berarak secara beramai-ramai ke Dataran Merdeka.

TANAH mendesak kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci terhadap motif kejadian dan mendakwa pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian ini. Ini bagi mengelakkan kejadian di ingini berlaku selepas ini.

Yang Benar
SUHAIZAN BIN KAIAT
SETIAUSAHA
GABUNGAN TANAH RAKYAT (TANAH)





Simbahan cat dan dengki khianat ke atas rumah pemimpin PAS di Johor nampaknya semakin menjadi-jadi.

Pada awal bulan ini, kediaman Ketua Pemuda Pas Johor Bahru, Mohd Ariff Mt Hassan di Jalan Padi 2, Bandar Baru Uda telah disimbah dengan cat oleh sekumpulan pemuda di hadapan rumahnya.

Sebelumnya telah berlaku serangan ke atas kediaman Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor Dzulkefly Ahmad yang terbakar dan sebuah keretanya hangus di dalam satu perbuatan khianat di Taman Universiti, Gelang Patah, Johor.

Menurut nusajayakini, Mazlan Aliman dilihat lantang dalam isu tanah yang mungkin mengugat kerajaan negeri Johor. Beliau banyak mengetuai untuk menyelesaikan isu-isu tanah yang berlaku di dalam negeri Johor. Beliau juga akan mengetuai satu himpunan yang diberi nama Himpunan Tanah Rakyat (TANAH) yang akan diadakan di Plaza Angsana, Johor Bahru pada 5 Mei 2012 ini sebagai mendesak kerajaan negeri Johor menyelesaikan isu-isu berbangkit berkenaan urusan tanah rakyat.

Apakah ini tanda ada pihak yang merasa kedudukan mereka tergugat di negeri tersebut? -GB
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .