Ikuti Blog ini

Scorpene: Bapa Altantuya sedia jadi saksi di mahkamah Perancis

PETALING JAYA : Bapa mangsa pembunuhan kejam, Altantuya Shaariibuu hari ini memberitahu bahawa beliau bersedia menjadi saksi kepada kes skandal pembelian kapal selam Scorpene yang akan berlangsung di Perancis.

Shariibuu yang percaya bahawa skandal tersebut ada kaitan dengan pembunuhan anaknya itu kerana perjanjian pembeliannya turut mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Saya sedia menawarkan diri jadi saksi dalam perbicaraan di mahkamah Perancis. Saya tahu kedua-dua perkara ini ada kaitan.

“Saya ada perkara penting untuk mengatakan … saya tahu bahawa ada kaitan dengan kes Perancis dan kes pembunuhan. Saya akan memberikan maklumat bagi kes itu,” katanya melalui penterjemah, Tsoggerel Och, ketika sidang media di pejabat Lawyers for Liberty (LFL), di sini hari ini.


Katanya, berdasarkan gambar yang ditunjukkan Altantuya sebelum beliau berangkat ke Malaysia membuktikan bahawa kedua-dua perkara tersebut ada kaitan.
 
“Saya ada lihat gambar mereka bertiga yang ditangkap di Perancis. Altantuya menunjukkan gambar beliau bersama Razak Baginda dan Najib kepada saya.

“Gambar itu seperti mereka ada berbincang sesuatu. Altantuya memberitahu saya bahawa dia ingin berjumpa dengan orang dalam gambar itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cynthia Gabriel, menjelaskan bahawa penyiasatan mengenai skandal pembelian kapal selam itu tidak mempunyai kaitan dengan pembunuhan.

“Penyiasatan di Perancis bukan mengenai pembunuhan, tetapi mengaitkan dengan isu rasuah dan skandal komisen yang melibatkan Najib.

“Semalam kita ada perjumpaan, beliau (Shaariibuu) memberi sokongan apa yang kita lakukan dan beliau menawarkan diri jadi saksi dalam perbicaraan di mahkamah Perancis,” ujarnya.

Pada 4 Jun 2007, Shaariibuu memfailkan saman sivil RM100 juta kepada kerajaan Malaysia kerana menyebabkan penderitaan terhadap mereka berhubung pembunuhan kejam terhadap anaknya Altantuya.
Pembunuhan Altantuya dikaitkan dengan urus niaga kapal selam Scorpene dengan Thales International, melibatkan Syarikat Perimekar Sdn Bhd milik Abdul Razak Baginda dan Menteri Pertahanan pada masa itu, Datuk Seri Najib Razak.

Bulan lepas, mahkamah Perancis memutuskan untuk memulakan inkuiri terbuka untuk menyiasat pegawai Perancis yang disyaki terlibat, dan juga komisyen RM570 juta yang diterima Perimekar.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .